Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta rakyat supaya tidak mempertikaikan usaha kerajaan menggunakan wang RM4.4 bilion daripada penjimatan pengurangan subsidi minyak bagi menambahbaik sistem pengangkutan awam.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan berjanji akan menggunakan wang itu sebaik-baiknya dan berusaha memperbaiki sistem pengangkutan awam di seluruh negara untuk kebaikan rakyat keseluruhannya.

"Saya harap rakyat tidak akan mempertikaikan lagi tentang wang yang diperoleh itu... kita akan menggunakan wang itu dengan sebaik-baiknya dan berusaha untuk memperbaiki sistem pengangkutan awam di semua negeri. Tengok di mana priority (keutamaan), mungkin jumlah itu belum cukup, kita kena tengoklah," katanya.

Bercakap kepada pemberita di Pulau Pinang hari ini, Abdullah berkata kerajaan memerlukan kerjasama rakyat untuk menjayakan usaha menyediakan kemudahan sistem pengangkutan awam yang benar-benar memberi keselesaan kepada mereka.

Kerajaan telah meluluskan penubuhan Kumpulan Wang Amanah Pengangkutan Awam (KWAPA) dengan peruntukan RM4.4 bilion, iaitu anggaran jumlah penjimatan daripada pengurangan subsidi minyak, bagi menambah baik sistem pengangkutan awam.

Dana itu akan digunakan bagi membiayai projek meningkatkan mutu pengangkutan awam seperti menambah baik sistem integrasi pengangkutan awam termasuk bas, sistem transit aliran ringan (LRT), monorel dan komuter.

Ia berikutan langkah kerajaan menaikkan harga runcit petrol dan diesel sebanyak 30 sen seliter serta harga runcit gas petroleum cecair (LPG) sebanyak 30 sen sekilogram berkuatkuasa 28 Feb lepas bagi menangani impak kenaikan harga minyak mentah di pasaran dunia serta membendung pertambahan subsidi yang perlu ditanggung.

Kemudahan infrastruktur

Mengenai kemudahan logistik dan peralatan kepada Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perdana Menteri berkata kerajaan akan mengumumkan peruntukan sebenar bagi peningkatkan kemudahan itu dalam pembentangan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) nanti.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata kekurangan yang paling ketara yang dihadapi oleh PDRM ialah kemudahan infrastruktur serta peralatan yang digunakan dalam tugas-tugas penguatkuasaan.

"Hal-hal yang berkaitan kekurangan itu akan dibincangkan, tunggulah, tak lama lagi. Kekurangan kemudahan yang nampak ketara ialah peralatan yang diperlukan dan infrastruktur," katanya.

Terdahulu, ketika berucap Abdullah berkata peningkatan kemudahan logistik, peralatan, perumahan dan kebajikan anggota serta keluarga PDRM akan mendorong kepada peningkatan kecekapan anggota PDRM dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka.

Beliau berkata kerajaan akan meningkatkan segala kemudahan bangunan pejabat, perumahan dan kelengkapan peralatan PDRM supaya lebih sesuai dan selesa digunakan dari semasa ke semasa selaras dengan peredaran masa.

Katanya melalui kaedah pembiayaan dan inisiatif sektor swasta, pelbagai projek infrastruktur, perumahan dan kompleks kerajaaaan dapat dibina dengan lebih cepat.

Tingkap kecekapan

"Melalui cara itu, pembinaan kompleks pejabat dan perumahan dapat disegerakan dan penyediaan peralatan yang memerlukan perbelanjaan yang besar juga dapat disediakan," katanya.

Selain kemudahan fizikal, Perdana Menteri berkata anggota PDRM juga perlu meningkatkan keupayaan dan kekuatan mental supaya dapat berkhidmat dengan lebih bersemangat.

Beliau menyeru supaya mereka terus menambahkan ilmu pengetahuan dan melalui proses pembelajaran secara berterusan supaya dapat melaksanakan tugas dengan lebih cekap terutama dalam menghadapi masyarakat yang lebih kompleks pada masa ini.

Kompleks bernilai kira-kira RM67.5 juta itu yan gterletak di kawasan seluas empat hektar, dibina pada 2 nov 2002 dan mengambil masa 30 bulan untuk disiapkan.

Selain mempunyai bangunan pentadbiran, bengkel kejuruteraan, jeti, ponton, dewan komuniti, surau dan padang permainan, kompleks itu turut menempatkan 131 unit rumah anggota dan 10 unit rumah pegawai.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Bakri Omar dan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Mohamad Johari Baharum.