Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN | Pengetahuan mengenai ekonomi berteraskan teknologi akan mewujudkan pekerjaan yang berpendapatan tinggi.

Untuk mencapai tahap pendapatan tinggi, kita memerlukan pekerja mahir dan berpengetahuan. Diumpamakan seperti kitaran ayam dan telur, ia memerlukan penglihatan politik dan ketabahan.

Sekarang adalah waktu yang terbaik untuk melihat peluang ini, iaitu ketika pakatan baru berjaya menggantikan penguasaan satu pihak selama 62 tahun.

Sama ada PH akan kembali selepas PRU ke-15 atau tidak, mereka boleh memastikan rakyat mampu terus bertahan jika berjaya meletakkan negara pada landasan yang betul untuk menjadi negara ekonomi berpendapatan tinggi.

Dengan kekuatan yang ada, PH boleh mencapai matlamat itu dalam tempoh berbaki empat tahun ke depan.

Sebelum ini saya ada menulis mengenai peluang Malaysia menjadi hab terkemuka dalam beberapa bahagian Revolusi Industri 4.0, tertumpu kepada blockchain dan aset digital.

Seperti Tokyo, Hong Kong dan Singapura, Kuala Lumpur mempunyai kelebihan untuk menjadi pusat kawal selia kewangan global ketika syarikat-syarikat teknologi kewangan berdepan banyak kekangan dan gangguan terhadap model perniagaan mereka.

Sekali lagi, kerajaan harus memainkan peranan penting untuk merancang dasar bagi menyokong ekosistem ini, terutamanya dalam teknologi berkaitan perkhidmatan Islam dan produk halal.

Di situlah Malaysia boleh menjadi pemimpin utama di dunia.

Utamakan ekonomi, inovasi

Ramai sudah mengetahui mengenai prospek kecerdasan buatan (AI) dan robotik - seperti Sophia yang dipamerkan pada minggu lepas - tetapi Malaysia harus memilih bidang kepakaran dengan berhati-hati untuk memecahkan sumber yang ada ke arah Industri 4.0.

Pengetahuan Malaysia dalam ekonomi akan berkembang sekitar bakat-bakat yang ada, sama banyak dengan tenaga yang diimport dan domestik.

Ia bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya terhasil daripada perancangan strategik dan pelaksanaan yang sempurna. Usaha tersebut menjadi pelengkap kepada kelebihan intrinsik yang ada di Malaysia dalam pasaran niche.

Tahap kemajuan dan pendapatan per kapita Malaysia dan Korea Selatan dikatakan setaraf selepas Krisis Kewangan Asia.

Korea Selatan sangat menitikberatkan ekonomi yang berteraskan inovasi. Sebagai contoh, syarikat seperti Samsung memiliki 5,000 pekerja berkelulusan doktor falsafah (PhD) dan tiada syarikat lain di dunia dapat menandinginya.

Hari ini, Korea Selatan terus ke hadapan untuk menjadi Harimau Asia dan kian menghampiri Jepun sebagai salah satu negara kuasa besar dunia.

Malaysia sudah lama terlindung dalam bayangan Singapura.

Masalah inflasi dan peningkatan kos sara hidup membuatkan Malaysia hanya memposisikan diri di belakang Singapura ketika republik itu berbangga dengan kejayaan ekonomi mereka.

Tidak dapat dinafikan, nama Singapura berkait rapat dengan inovasi dan infrastruktur kelas dunia yang mengagumkan pada hari ini.

Tetapi, kekurangan sumber dan kekangan saiz merupakan cabaran yang perlu dihadapi mereka. Oleh sebab kekurangan ini, Singapura menjejaskan wilayah Iskandar dan tempat-tempat lain.

Apabila adanya keretapi laju dan sistem penghubung infrastruktur, harga hartanah dan nilai aset-aset akan mengalami arbitraj dan ia dapat menjana keuntungan secara progresif.

Perlu transformasi ekonomi

Malaysia harus bersiap sedia dan bertindak secara proaktif agar dapat mengawal gangguan dalam pembangunan sumber manusia.

Dalam era yang serba digital ini, kerajaan perlu merancang langkah yang betul untuk mendidik dan melengkapkan pekerja dengan kemahiran yang diperlukan.

Industri 4.0 membuka peluang yang luas kepada Malaysia sekiranya negara ini dapat mewujudkan ekonomi terbuka dan fleksibel dengan berorientasikan pengetahuan dan kemahiran.

Menurut Forum Ekonomi Dunia (WEF), mesin dan algoritma dapat mencipta 133 juta pekerjaan baru, tetapi pada masa sama ia akan menggantikan 75 juta jenis pekerjaan menjelang 2020.

Keadaan tersebut menandakan bahawa AI mampu mencipta 58 juta pekerjaan baru dalam tempoh lima tahun yang akan datang.

Kesemua pekerjaan baru tersebut akan membawa kebaikan kepada rakyat Malaysia dengan adanya pekerjaan berpendapatan tinggi.

Justeru, Keluaran Dalam Negara Kasar merupakan kayu ukur yang paling asas bagi menilai prestasi ekonomi dalam negara membangun.

Seterusnya, ketika negara menuju ke arah Malaysia 2020 yang digariskan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, transformasi ekonomi adalah wawasan yang perlu diutamakan.


DR RAIS HUSSIN ialah presiden dan ketua pegawai eksekutif badan pemikir berfokuskan penyelidikan dasar berteraskan data, Emir Research. Ia ditunjangi nilai-nilai konsultansi, kesederhanaan dan kerapian.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS