Gambar pesawat tidak dikenali yang dilaporkan berlegar-legar di ruang udara Gelang Patah dekat Johor Bahru seperti yang disiarkan akhbar semalam, dikenalipasti sebagai pesawat peninjau tanpa pemandu (UAV) buatan Israel milik Tentera Udara Republik Singapura, demikian menurut seorang penganalisis pertahanan.

"Ia adalah jenis Searcher UAV buatan syarikat Israel Aircraft Industries. Ia bukanlah sesuatu yang rahsia, Singapura telah mula mengoperasikannya sejak dari 1998," kata penganalisis itu yang enggan namanya disiarkan.

Bernama difahamkan operasi pesawat UAV terbabit dijalankan oleh Skuadron 40 Tentera Udara Republik Singapura yang berpangkalan di Kem Murai, tidak jauh dari sempadan dengan Malaysia.

Kehadiran pesawat itu menimbulkan keresahan penduduk Gelang Patah kerana ia menyebabkan bunyi bising "hinggakan nelayan pun tidak dapat menangkap ikan".

Lamanweb Kementerian Pertahanan Singapura menyebut ia menggunakan UAV jenis Searcher yang berupaya beroperasi sejauh 100km dari pangkalannya dan selama lapan jam tanpa henti.

Republik itu dilaporkan mempunyai sekurang-kurangnya 40 pesawat jenis itu.

Mengulas isu itu, Pengerusi Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan Datuk Shahrir Abdul Samad, berkata negara jiran perlu memaklumkan kepada Malaysia tentang operasi pesawat tentera mereka terutamanya yang berhampiran kawasan sempadan bagi mengelak rasa curiga dan bimbang di kalangan penduduk tempatan.

Amalan berbaik-baik

Katanya tindakan memaklumkan tentang kehadiran dan operasi pesawat tentera negara jiran bukan sahaja akan membantu mengelak kekeliruan tetapi juga h selaras dengan amalan berbaik-baik antara dua negara jiran yang rapat.

"Walaupun kehadiran pesawat terbabit adalah untuk mengawal sempadan atau mengelak kemasukan secara haram pendatang asing, mereka (negara jiran) patut membuat kenyataan dan memberitahu Malaysia (tentang kehadiran pesawat itu)."

"Apabila pihak berkuasa negara ini tahu mengenainya, mereka boleh menjelaskannya kepada penduduk tempatan agar tiada kekeliruan dan rasa curiga di kalangan mereka," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Shahrir berkata, apa yang berlaku di Gelang Patah adalah akibat kegagalan Singapura memaklumkan kepada Malaysia tentang kehadiran pesawat itu sehingga mengakibatkan keresahan di kalangan penduduk tempatan.