Syarikat perunding bagi Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh) hari ini menyaman Utusan Melayu(Malaysia) Berhad bagi menuntut pampasan RM50 juta berhubung penyiaran dua rencana yang didakwanya mengandungi fitnah.

Maunsell Sharma & Zakaria Sdn Bhd berkata Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, penerbit akhbar Utusan Malaysia, telah menyiarkan rencana berbentuk fitnah bahawa terdapat retakan pada jejambat lebuh raya berkenaan serta mendakwa syarikat perunding itu cuai dalam menyediakan reka bentuknya.

Writ saman berkenaan difailkan di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini oleh peguam syarikat itu, D P Vijandran Associates.

Dalam penyata tuntutannya, Maunsell Sharma yang menyediakan rekabentuk Akleh mendakwa Utusan Melayu telah menyiarkan rencana berkenaan dengan tajuk "Lagi Jejambat Retak" pada 9 Februari 2006 dan "Isu Keretakan Jejambat Ampang-Kuala Lumpur" pada 10 Februari 2006.

Maunsell Sharma mendakwa perkataan yang terkandung dalam rencana terbabit adalah tidak benar serta mengandungi fitnah dan telah menjejaskan dengan teruk kedudukan profesional dan nama baik perniagaannya hingga menyebabkannya ia mengalami kerugian daripada segi perniagaan yang tidak terdaya diukurnya.

Bernama melaporkan, Maunsell Sharma juga mendakwa Utusan Melayu enggan memenuhi permintaannya supaya menarik balik rencana berkenaan serta menyiarkan permohonan maaf melalui akhbarnya.

Selain menuntut RM50 juta sebagai ganti rugi teruk dan teladan, syarikat perunding itu juga meminta mahkamah mengeluarkan perintah menghalang Utusan Melayu daripada terus menyiarkan rencana berunsur fitnah mengenainya.