Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Sekumpulan pemimpin akar umbi Pakatan Harapan (PH) Kelantan menuntut kerajaan persekutuan mengkaji semula struktur Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Jurucakapnya, Nik Faizah Nik Othman berkata pihaknya mendapati wujud mekanisme tidak jelas mengenai punca kuasa yang ada dalam kerangka MPKK.

Katanya, sebagaimana yang sedia maklum punca kuasa MPKK lantikan negeri iaitu daripada PAS lebih kelihatan jelas berbanding wakil MPKK yang dilantik kerajaan PH.

"Punca kuasa lantikan oleh kerajaan negeri bermula daripada bawah iaitu melalui pengerusi MPKK, anggota dewan undangan negeri (Adun), kerajaan negeri dan akhirnya kepada pusat.

"Sebaliknya MPKK lantikan PH tidak jelas susun atur dan organisasinya. Sehingga hari ini kita difahamkan MPKK lantikan PH adalah di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang mana peruntukannya adalah daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

"Tetapi tiada susunan organisasi punca kuasa seperti anggota lantikan negeri," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Bagaimanapun Nik Faizah yang juga penyelaras PH Dun Kelaboran berkata, Kemas adalah sebuah institusi kerajaan yang sudah ada bidangkuasa dan tugasnya yang tersendiri, manakala bidangkuasa Kemas tiada kaitan dengan MPKK.

Justeru beliau membangkitkan ke mana segala permasalahan rakyat hendak diadukan.

"Adalah mustahil setiap ahli MPKK terpaksa jumpa pegawai Kemas untuk mengadu perihal masalah rakyat. Tidakkah akan jadi satu "overlapping" dalam bidang kuasa Kemas pula?

"Oleh itu kami menuntut kerajaan PH mengkaji semula punca kuasa dan menyusun kembali mekanisme dalam pelan tindakan MPKK supaya lebih jelas dan MPKK lantikan PH bertindak sebagai jentera pusat dari bawah," jelasnya.

Terdahulu, Nik Faizah mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan lebih 100 anggota MPKK lantikan PH bagi mengumpul tandatangan dan mengadakan memorandum supaya perkara itu diberi perhatian oleh kerajaan pusat.

Sementara itu katanya, deklarasi MPKK PH Kelantan juga meminta kerajaan mengkaji semula peruntukan melalui Kemas supaya tidak sewenang-wenangnya disalahguna oleh pihak pembangkang.

"Ini kerana mengikut pelan MPKK yang ada sekarang pengerusi dan setiausaha MPKK adalah dari lantikan negeri (PAS). Apabila kuasa berada di tangan mereka, MPKK PH seolah-olah hanya pak turut kerana tiada hak bersuara.

"Kenapa kerajaan mewujudkan MPKK dan memberi peruntukan yang akhirnya memberi kepada pihak pembangkang kuasa mengurus peruntukan tersebut?

"Kami melihat situasi ini sebagai pelik dan tidak munasabah. Oleh itu, kami memohon kuasa meluluskan peruntukan diberikan kepada ahli MPKK lantikan PH, ini menjamin program yang akan dijalankan tidak dicampuradukkan dengan kepentingan parti pembangkang," kata Nik Faizah.

Lihat Komen
ADS