Najib: Hak Msia bina jambatan ganti Tambak Johor di perairannya
Tiada sebarang negara yang boleh menafikan hak Malaysia untuk membina jambatan bagi menggantikan bahagian Tambak Johor yang terletak di dalam wilayah dan perairannya, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Tiada sebarang negara yang boleh menafikan hak Malaysia untuk membina jambatan bagi menggantikan bahagian Tambak Johor yang terletak di dalam wilayah dan perairannya, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata keputusan menyambung semula pembinaan jambatan separuh tersebut yang kini dipanggil "jambatan indah", dibuat selepas menunggu rundingan dengan Singapura selama dua tahun serta mendengar pendapat penduduk Johor Baharu serta Johor amnya.
"Kerajaan telah memutuskan selepas menunggu selama dua tahun dan mendengar suara orang Johor Baharu dan Johor, maka kerajaan memutuskan bahawa projek pembinaan jambatan tersebut adalah hak kita.
"Tidak ada sesiapa yang yang boleh menafikan hak kita (untuk membina jambatan tersebut). Maka projek tersebut akan disambung semula," katanya pada majlis bersama rakyat di pejabat kontraktor Gerbang Perdana Sdn Bhd (GPSB) selepas melawat tapak projek Gerbang Selatan Bersepadu di Johor Bahru semalam.
Projek bernilai RM2.5 bilion itu merangkumi pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) serta sebuah jambatan yang menggantikan Tambak Johor yang kini menghubungkan Johor Baharu dengan Singapura.
Menurut laporan Bernama, Timbalan Perdana Menteri berkata Malaysia tidak boleh lagi mengekalkan KIK yang lama serta Tambak Johor kerana kedua-dua kemudahan tersebut tidak lagi sesuai dengan keadaan sekarang.
Menurutnya, kewujudan Tambak Johor yang berusia lebih 80 tahun itu tidak boleh lagi dipertahankan atas dasar sentimen.
"Tambak Johor itu sudah tidak lagi bersesuaian dari segi alam sekitar, keadaannya adalah amat teruk. Kesan kepada selat itu telah diketahui oleh orang ramai. Ia adalah sebuah selat yang penuh dengan sisa toksik yang tinggi," katanya.
Pusat pelancongan baru
Kerajaan menurutnya, mahukan jambatan baru dibina agar air di selat tersebut dapat mengalir dengan sempurna tanpa sebarang sekatan dan menjadikan kawasan persekitaran sebagai pusat pelancongan terbaru dan ekonomi negara.
Najib berkata, Malaysia berharap Singapura dapat bertolak ansur dan berfikir secara mendalam tentang pembinaan jambatan tersebut agar ia dapat menjadi "lambang kerjasama di antara dua negara jiran yang rapat."
Ketika ini bukan masa sesuai bagi mana-mana negara untuk hanya mementingkan diri sendiri atau "mengeluarkan sebarang gertakan" tetapi adalah untuk bermuafakat, kata beliau.
Beliau merujuk kepada kenyataan Menteri Luar Singapura George Yeo di parlimen republik itu baru-baru ini tentang "implikasi serius" jika Malaysia meneruskan hasratnya untuk membina jambatan di bahagian Tambak Johornya.
Mengenai lawatannya ke tapak projek Gerbang Selatan Bersepadu, beliau berkata lawatan hari ini menunjukkan iltizam kerajaan untuk melaksanakan pembinaan "jambatan indah" tersebut.
"Kita berharap projek itu akan berjalan sebaik mungkin dan harapan kita adalah tidak lama lagi, negara akan mempunyai sebuah jambatan terindah di dunia. Ia akan menjadi kenyataan," kata Najib
Sebelum itu anggota Parlimen Johor Baharu Datuk Shahrir Abdul Samad dalam ucapannya yang mendapat tepukan daripada penduduk Johor Baharu yang hadir mahu kerajaan menghentikan rundingan dengan Singapura dengan alasan "masa untuk berunding telah mencukupi.
Teruskan rundingan
"Kita di Johor Baharu dan Johor mahu menyatakan kepada kerajaan bahawa masa (untuk berunding) itu telah mencukupi. Jikalau (Singapura) masih engkar dan cuba mengambil kesempatan, kita rasa berhentilah dari meneruskan rundingan dan balik kepada asal iaitu pada 14 Feb 2003," katanya.
Tarikh tersebut menurut Shahrir, yang juga Pengerusi Kelab Penyokong-Penyokong Kerajaan (BBC) merujuk kepada majlis pelancaran projek Gerbang Selatan Bersepadu oleh Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad yang melibatkan pembinaan sebuah jambatan bengkok.
Jambatan bengkok itu kini dikenali sebagai jambatan indah.
Menurutnya, kerajaan Malaysia telah banyak bersabar dengan sikap Singapura termasuk yang bersifat ugutan dan telah tiba masa untuk negara membuat keputusan dengan meneruskan pembinaan jambatan itu.
"Kita telah cukup bersabar dan adalah tidak berguna untuk bersabar dengan sikap Singapura itu. Teruskan bina dan jangan ambil kira perkara-perkara remeh seperti penjualan pasir dan ruang udara," katanya.
Pada sidang akhbar selepas majlis itu, Najib ditanya mengenai cadangan agar Malaysia menghentikan rundingan dengan Singapura dan berkata, negara akan tetap meneruskan rundingan dua halanya dengan republik tersebut.
Beliau juga menyatakan rasa puashatinya dengan kemajuan projek KIK yang telah mencapai kemajuan 95 peratus dan menjangkakan akan mula beroperasi sepenuhnya pada 1 Jan tahun depan.
Turut hadir pada majlis itu Pengarah Urusan GPSB Datuk Yahya A. Jalil dan pengerusinya Tan Sri Razali Ismail serta barisan exco kerajaan negeri.

