Gerakan pantau selesema burung diteruskan
Gerakan pengawasan dan pemantauan diteruskan di kedua-dua kawasan yang dikesan virus selesema burung serta kawasan yang berada dalam lingkungan lima kilometer radius dari Kampung Changkat Tualang, Gopeng dan Ecopark Bukit Merah Laketown Resort di Taiping.
Gerakan pengawasan dan pemantauan diteruskan di kedua-dua kawasan yang dikesan virus selesema burung serta kawasan yang berada dalam lingkungan lima kilometer radius dari Kampung Changkat Tualang, Gopeng dan Ecopark Bukit Merah Laketown Resort di Taiping.
Kesemua unggas di Kampung Changkat Tualang, Gopeng dan Ecopark Bukit Laketown Resort di Taiping dimusnahkan dalam operasi yang bermula pagi semalam hingga jam 3 pagi ini.
"Di Kampung Changkat Tualang semua unggas dimusnahkan cuma yang tinggal hanya unggas milik penduduk kampung yang mungkin tertinggal manakala di Bukit Merah boleh dikatakan 95 peratus sudah selesai (dimusnahkan) cuma yang tinggal hanya burung kecil seperti pipit," kata Pegawai Veterinar Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) Dr Wan Mohd Kamil Wan Nik ketika dihubungi Bernama di Ipoh.
Katanya, operasi di Ecopark yang menempatkan 249 ekor burung dari 30 spesies itu turut mendapat kerjasama dari Zoo Taiping dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, katanya.
Ecopark itu merupakan sebuah pulau seluas satu hektar terletak berhampiran resort yang hanya boleh dikunjungi dengan bot.
Ayam sabung
Pulau itu mengandungi burung yang sudah dilatih, setiap seekor berharga RM8,000 termasuk daripada spesies kakak tua, kenari dan pungguk.
Pada hari Khamis dan semalam, sebanyak 1,149 telur ayam, 8,011 ekor ayam, 2,436 ekor ayam kampung dan empat ekor ayam sabung dimusnahkan.
Turut dimusnahkan 16 telur itik, 31,245 itik ternakan komersial, 14 ekor itik kampung, 228 ekor burung, 20 ekor angsa, enam ekor puyuh dan 11 ekor ayam kampung, katanya.
Khamis lalu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Institut Penyelidikan Veterinar mengesahkan kematian burung di Ecopark pada 9 Mac dan ayam kampung di Changkat Tualang pada 11 Mac berpunca daripada H5N1.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.