10 rakyat Msia yang sesat di sempadan tersasar ke Thailand
Sepuluh rakyat Malaysia, termasuk dua kakitangan Jabatan Perhutanan Perlis yang sesat di banjaran Nakawan sejak Khamis lalu, ditemui selamat oleh pihak berkuasa Thailand di kawasan berbukit di wilayah ini lewat petang semalam.
Sepuluh rakyat Malaysia, termasuk dua kakitangan Jabatan Perhutanan Perlis yang sesat di banjaran Nakawan sejak Khamis lalu, ditemui selamat oleh pihak berkuasa Thailand di kawasan berbukit di wilayah ini lewat petang semalam.
Pengarah Jabatan Perhutanan Perlis, Kasim Osman berkata mereka ditemui kira-kira jam 6 petang dalam keletihan di kampung Khuang Nue oleh anggota polis Thailand.
Mereka kemudiannya dibawa dengan sebuah bot selama dua jam menuju kampung Na Khei sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Satun pukul 8.30 malam tadi.
Menurut laporan Bernama, Kasim yang ditemui ketika membantu mengesan mereka yang hilang di wilayah ini malam tadi mengesahkan kumpulan itu dalam keadaan sihat tetapi keletihan.
Dua pegawai Jabatan Perhutanan, Hasbullah Ramli, 33 dan Abidin Abdullah, 46, sedang memantau kerja membersihkan kawasan sempadan antarabangsa oleh lapan pekerja sebuah syarikat ketika mereka dilaporkan sesat pada 3.30 petang.
Pekerja itu dari syarikat Muda Bina Sdn Bhd iaitu Muhsani Harun, 31, Mazeni Din, 47, Sukery Kamis, 37, Mohd Sharif Salleh, 58, Kamis Nayan, 67, Nor Hasim Harun,37, Mahmud Hashim, 57 dan Che Hasby Che Menteri, 26.
Banjaran Nakawan
Mereka dilaporkan mendaki banjaran Nakawan melalui Kampung Guar Jentik, Perlis untuk melakukan kerja pembersihan kawasan sempadan antarabangsa Malaysia-Thailand pada 8.30 pagi Khamis lalu.
Mereka dijadualkan menamatkan kerja itu pukul 4 petang Khamis namun seorang pekerja syarikat yang sama menerima panggilan bahawa kumpulan itu tersesat.
Gerakan mencari dan menyelamat dilakukan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA), polis, Rela, Jabatan Perhutanan dan penduduk kampung mulai 10 malam di kawasan mereka dilaporkan hilang. Helikopter PDRM turut digunakan bagi mengesan mereka.
Lewat petang semalam, bilik gerakan mencari dan menyelamat yang dibuka di Sekolah Kebangsaan Guar Jentik menerima laporan kumpulan itu berada di sebelah Thailand.
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Perlis, Bakar Saad yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Kuala Perlis bersama Kasim bergegas ke wilayah Satun untuk bertemu kumpulan itu yang dikatakan dibawa ke kampung Pu Yu.
Dengan menggunakan sebuah bot dari pelabuhan Temelang, mereka yang disertai wartawan meredah kegelapan malam menuju ke kampung Pu Yu tetapi sebaik tiba di situ, mereka diberitahu kesemua mangsa telah dibawa ke balai polis di wilayah Satun.
Pejabat MB uruskan
Usaha membawa pulang mangsa sedang dilakukan melalui pejabat Menteri Besar Perlis dan pejabat Gabenor Wilayah Satun.
Ketua Polis Daerah Satun, Pol Col Phanyoong Singthuen berkata mereka akan dibebaskan setelah selesai urusan Imigresen.
Sementara itu, Bakar gembira kerana semua mangsa ditemui dalam keadaan selamat.
Katanya ikatan kerjasama yang terjalin antara Perlis dan Satun akan memudahkan urusan membawa mereka pulang.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada pentadbiran Satun yang turut membantu mengesan mangsa dan membawa mereka pulang dengan selamat.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.