Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno, PAS sepakat tutup pintu buat parti berkawan DAP

Umno dan PAS bakal menandatangani piagam bersama sebagai usaha menjadikan kerjasama di antara kedua-dua parti terbabit berlangsung secara rasmi, tidak lama lagi.

Melalui piagam tersebut, kata Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi, mereka akan menutup pintu untuk mana-mana parti yang menjalin hubungan dengan DAP.

“Perbincangan (sudah) dimuktamadkan, tak akan ada rundingan dengan parti dalam Pakatan Harapan (PH) selagi mereka berkongsi kuasa dengan DAP.

“Umno tolak kerjasama dengan DAP. Oleh demikian, kita berpendirian, kita tak ada rundingan dengan pihak lain selagi mana-mana pihak bersekongkol dengan DAP,” katanya.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan mengapa bekas timbalan perdana menteri itu membangkitkan isu berkenaan pada sidang media hari ini.

Untuk rekod, awal bulan ini Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad pernah membuat pelawaan agar orang Melayu yang menyertai pembangkang menyertai Bersatu.

Ditanya mengapa Umno menolak DAP, Ahmad Zahid mendakwa DAP kini menterjemah agenda Malaysian Malaysia yang tidak dapat diterima oleh Umno dan BN.

Diterima sebulat suara

Sementara itu Ahmad Zahid memberitahu hanya presiden Umno diberi hak untuk berunding dengan mana-mana parti untuk membentuk kerjasama politik.

“Jika ada pihak di luar Umno dan PAS mahu jemput adakan perbincangan anggota Majlis Tertinggi (MT) mengambil keputusan muktamad, hanya presiden boleh mewakili Umno, tak ada orang lain,” katanya.

Ahmad Zahid ditemui media selepas mempengerusikan mesyuarat MT Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur sebentar tadi.

Beliau juga mengumumkan MT Umno sebulat suara bersetuju menerima kerjasama dengan PAS berdasarkan 'taawun siyasi' (bertolong-tolong dalam perkara politik), kata presidennya Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Ahmad Zahid kedua-dua parti itu - melalui setiausaha agung masing-masing - akan mengeluarkan kenyataan bersama berkaitan kerjasama itu, esok.

“Umno ambil keputusan bahawa kerjasama dengan PAS dengan menandatangani piagam yang berlandaskan taawun siyasi diterima sebulat suara anggota MT.

“Setiausaha Agung Umno dan PAS akan buat kenyataan bersama untuk memaklumkan kepada khalayak umum tentang tarikh dan tandatangan (piagam kerjasama) antara Umno dan PAS,” katanya.

Lihat Komen
ADS