Paling Popular
Terkini

PAS akur dengan keputusan Dewan Negara Isnin lalu yang mewajibkan semua anggota pentadbiran dan ahli parlimen serta suami atau isteri, anak dan pemegang amanah dalam akuan berkanun mengisytiharkan harta masing-masing.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man bagaimanapun berpendapat speaker Dewan Negara tidak mempunyai kuasa terhadap pengisytiharan keluarga ahli parlimen berkenaan.

“Kita akur dengan keputusan tersebut," katanya.

Mengulas pendirian dinyatakan PAS sebelum ini, Tuan Ibrahim berkata parti terbabit bukannya tidak menyokong usul pengisytiharan harta tetapi hanya berpendapat parlimen tidak mempunyai kuasa mewajibkannya.

Katanya parlimen tidak berkuasa mengarahkan orang yang bukan wakil rakyat - seperti isteri dan anak anggota parlimen - membuat pengisytiharan berkenaan.

"Sebagai ahli parlimen, (PAS) tiada masalah untuk istihar harta.

“Isu yang utama dalam perbahasan lalu ialah usul tersebut tidak mempunyai sumber kuasa seandainya ada pihak yang tidak membuat pengisytihar atau membuat pengisytiharan palsu,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Tuan Ibrahim berkata demikian ketika diminta mengulas usul mewajibkan semua anggota pentadbiran dan ahli parlimen mengisytiharkan harta masing-masing yang diluluskan pada persidangan Dewan Negara Isnin lalu.

Usul yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong diluluskan menerusi undi belah bahagi, selepas mendapat sokongan 34 daripada 57 anggota Dewan Negara yang mengundi.

Melalui usul yang diluluskan itu senator, suami atau isteri, anak dan pemegang amanah dalam akuan berkanun mereka dikehendaki mengisytiharkan aset masing-masing kepada Yang Dipertua Dewan Negara.

Salinannya pula dipanjangkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut Liew, hanya butiran harta anggota Dewan Negara akan dipaparkan di portal SPRM untuk tempoh tiga bulan.

Ketika menggulung perbahasan usul itu, Liew berkata, setakat ini tidak timbul isu keselamatan susulan pengisytiharan harta oleh menteri dan timbalan menteri yang dilaksana dan dipaparkan di portal SPRM, sejak Oktober tahun lepas.

Sebelum ini PAS menolak usul berkenaan termasuk Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang mendakwa pengisytiharan harta ahli parlimen dipengaruhi idea komunis dan DAP.

Kenyataannya itu dibuat susulan kenyataan Tuan Ibrahim di Dewan Rakyat bahawa pengisytiharan harta akan menjejaskan harta dan individu tersebut, di samping menimbulkan rasa dengki.

Lihat Komen
ADS