Nelayan tikam bekas isteri kerana enggan rujuk
Gara-gara gagal untuk rujuk semula, seorang lelaki menikam bekas isterinya menggunakan pemutar skru, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Besut, Supt Mohd Zamri Mohd Rowi, berkata dalam kejadian kira-kira jam 4.35 petang itu, mangsa yang berumur 28 tahun terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Besut setelah mengalami kecederaan.
Beliau berkata mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai didatangi suspek berusia 31 tahun ketika bekerja di Pantai Air Tawar.
“Berang apabila mangsa tidak mahu rujuk semula, suspek bertindak menikam mangsa dengan menggunakan pemutar skru di bahagian muka dan tangan.
“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian bawah mata kanan, luka di tangan kanan dan tangan kiri serta kening sebelah kiri,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Mohd Zamri berkata suspek ialah seorang nelayan dan mereka mendirikan rumah tangga pada 2014. Pasangan itu mempunyai seorang anak perempuan berusia empat tahun apabila bercerai pada 15 Julai 2017.
Beliau berkata polis berjaya menahan suspek di tepi jalan Kampung Cawat dan akan direman untuk siasatan lanjut.
- Bernama

