Selesema burung: Empat orang dikurantin untuk ujian
Empat orang yang tinggal berhampiran kawasan yang dikesan terbabit dengan penyakit selesema burung di Perak, kini dikurantin di dua buah hospital di negeri itu.
Empat orang yang tinggal berhampiran kawasan yang dikesan terbabit dengan penyakit selesema burung di Perak, kini dikurantin di dua buah hospital di negeri itu.
Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Ramlee Rahmat berkata, mereka akan dikurantin selama beberapa hari.
"Kami perlu menentukan punca mereka demam. Hasil (ujian) akan diketahui pada hari Ahad," tambahnya.
Lebih 90 orang mati akibat selesema burung di China, Asia Tenggara, Iraq dan timur Turki sejak tahun 2003. Setakat ini, belum ada kematian kerana selesema burung di Malaysia.
Ramlee berkata, seorang daripada mereka adalah penternak berusia 43 tahun yang tinggal satu kilometer dari tempat wabak selesema burung di Kampung Changkat Tualang, dan seorang lagi jirannya yang berusia tujuh tahun.
Dua orang lagi tinggal kira-kira 10 kilometer dari Laketown Resort yang turut terbabit dengan penyakit selesema burung.
Para pegawai Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) telah memusnahkan beribu-ribu ekor unggas di kedua-dua kawasan terbabit sejak Khamis lalu.
Sukar musnah burung
Bagaimanapun, Pegawai JPH Perak, Wan Mohamad Kamil berkata pihaknya menghadapi kesukaran untuk memusnahkan burung di kawasan terbabit kerana mereka tinggal di atas pokok manakala yang lainnya telah terbang dari situ.
"Kita menghadapi masalah. Sesetengah burung hinggap begitu tinggi di atas pokok manakala yang lainnya telah berpindah ke kampung-kampung sekitarnya," katanya, sambil menambah 41,979 unggas telah dimusnahkan sehingga ini.
Wan Mohamad berkata, anggota polis serta Jabatan Hidupan Liar juga turut membantu gerakan memusnahkan unggas di kawasan terbabit.
Perak merupakan negeri pembekal terbesar itik dan ayam ke republik Singapura. Virus selesema burung, H5N1, telah dikesan bulan lalu di empat kampung di pinggir Kuala Lumpur kes pertama selepas lebih empat tahun lalu.
- AFP

