Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Hari ke-44: Perbicaraan ditangguh, peguam perlu masa teliti log perbualan saksi

LANGSUNG | Perbicaraan jenayah bekas perdana menteri Najib Razak yang melibatkan dakwaan penyalahgunaan dana dari SRC International Sdn Bhd memasuki hari ke-44 di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini

Malaysiakini membawa anda laporan langsung perbicaraan.

Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB

  • 1 tuduhan salah guna kuasa
  • 3 tuduhan pecah amanah
  • 3 tuduhan pengubahan wang haram
  • Klik untuk perincian lanjut hakim, pasukan pendakwaan dan pembelaan

Terima kasih kerana mengikuti laporan langsung Malaysiakini

4 petang: Terima kasih kerana mengikuti liputan kami hari ini.

Laporan oleh Hariz Mohd and Hidir Reduan Abdul Rashid. Gambar oleh Azneal Ishak. Kemas kini media sosial oleh Ewe Ling Yenn.

Jika anda suka laporan kami, sokong media bebas dengan menyertai program langganan dengan harga serendah RM0.55 sehari. Maklumat lanjut di sini.

Perbicaraan ditangguh, peguam perlu masa teliti log perbualan saksi

3.25 petang: Perbicaran hari ini ditangguh awal selepas Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan peguam Harvinderjit Singh untuk diberi masa meneliti dokumen baru yang dikongsi oleh pendakwaan kepada mereka hari ini.

Ia selepas pasukan pembelaan mendapati mereka tidak dapat meneliti dokumen itu - iaitu transkrip perbualan BlackBerry Messenger (BBM) daripada telefon saksi ke-54 Joanna Yu Ging Ping yang dirampas oleh Bank Negara ada 2015 - dalam masa sepuluh minit seperti yang diberi mahkamah sebelum itu.

Menurut Harvinderjit, pemeriksaan balas dengan Joanna - bekas pengurus perhubungan AmBank - sebelum ini bergantung kepada transkrip perbualan BBM sebelumnya dan dia memerlukan masa untuk melihat transkrip tambahan itu.

Pasukan pendakwaan berkata mereka tiada bantahan terhadap permohonan itu.

Nazlan kemudian memutuskan perbicaraan disambung pada pukul sembilan pagi Isnin ini.

Dia juga mengingatkan Joanna bahawa dia tidak boleh membincangkan keterangannya dengan sesiapa kerana masih terikat dengan sumpah kepada mahkamah.


Hakim benarkan pembelaan akses log perbualan dalam telefon saksi

2.50 petang: Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan pembelaan untuk mengakses baki log perbualan dalam telefon BlackBerry milik bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu Ging Ping.

Permohonan itu dibuat peguam Harvinderjit Singh.

Hakim juga membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) V Sithambaram agar log perbualan itu ditanda sebagai "ID".

Ini bermakna log itu hanya boleh dirujuk ketika keterangan, tetapi kandungannya tidak boleh dibaca di mahkamah.

Sithambaram memberitahu mahkamah bahawa pasukan pembelaan kini boleh menggunakan log perbualan itu sebagai persediaan untuk pemeriksaan balas Yu pada Isnin minggu depan.


Ancaman bom palsu, perbicaraan disambung

2.15 petang: Pemeriksaan polis di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur tidak menemui sebarang bahan letupan di kawasan itu, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah PDRM Kuala Lumpur Rusdi Md Isa.

Menurutnya, balai polis Taman Tun Dr Ismail menerima panggilan telefon kira-kira pada pukul 11.10 pagi tadi daripada seorang individu tidak dikenali, yang mendakwa bahan letupan diletakkan di kompleks itu.

"Tindakan telah diambil dan didapati tiada bahan letupan ditemui," katanya dalam kenyataan.

Perbicaraan kes SRC International dijangka bersambung pada pukul 2.30 petang.


12.25 tengah hari: Perbicaraan dihentikan sementara susulan ancaman bom di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dimaklumkan berkenaan perkara itu dan kemudian mengarahkan perbicaraan ditangguh sehingga pihak berkuasa selesai membuat pemeriksaan.

Semua orang kemudian diarahkan untuk segera meninggalkan mahkamah dan mengikut arahan polis.


Surat mandat untuk akaun Najib diserah Jho Low, kata saksi

12.20 tengah hari: Surat mandat yang memberi kuasa kepada CEO SRC International untuk mengendalikan akaun AmBank Najib Razak diserahkan kepada bank itu oleh Jho Low pada 2011, kata bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu Ging Ping.

Dalam keterangannya ketika pemeriksaan balas dengan peguam Harvinderjit Singh, Joanna berkata dia pada mulanya menerima surat itu yang bertarikh 10 Mac 2011 yang memaparkan tandantangan Najib, tetapi tanpa maklumat berkenaan pihak yang diberi mandat.

Katanya lagi, dia kemudian memulangkan surat mandat yang tidak lengkap itu kepada Jho Low, yang kemudian menghantarnya semula beberapa bulan kemudian.

Apabila ditanya Harvinderjit, dia mengesahkan hanya hanya menerima semula surat itu pada 22 September 2011, yang menyertakan nama dan maklumat Nik Faisal.

Dia juga setuju bahawa ada kemungkinan tandatangan Najib diberi sebelum maklumat itu disertakan pada surat tersebut.

Harvinderjit: Ada kemungkinan tandatangan diletak pada surat sebelum tempat kosong diisi?

Joanna: Mungkin.


'Jho Low bertegas larang penyata kad kredit dihantar ke rumah Najib'

12.10 tengah hari: Ahli perniagaan yang kini diburu, Jho Low bertegas agar penyata kad kredit Najib Razak tidak dihantar ke rumah bekas perdana menteri itu di Jalan Langgak Duta, kata saksi ke-54 Joanna Yu Ging Ping.

Joanna, bekas pengurus perhubungan AmBank, setuju dengan petikan perbualan emel antaranya dengan Low pada 2011, yang dibangkitkan peguam Harvinderjit Singh.

Harvinderjit: Respons Jho Low ialah "jangan hantar penyata ke rumahnya (Najib). Sangat sensitif. Kami akan mengambilnya (penyata)".

Yu: Ya.

Harvinderjit: (Low juga kata) "penyata kad kredit (mesti) tak dihantar ke rumahnya".

Yu: Mereka sentiasa ambil (penyata).

Harvinderjit: Jho (Low) bertegas?

Yu: Ya, dan pemegang mandat juga.

Dia merujuk kepada bekas CEO SRC International Nik Faisal Ariff Kamil, yang menjadi pemegang mandat bagi akaun Najib di AmBank.


Saksi: Jho Low yang beritahu Najib nak buka akaun AmBank

11.35 pagi: Bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu Ging Ping berkata Jhow Low adalah individu yang memberitahunya yang bekas perdana menteri Najib Razak mahu membuka akaun dengan bank itu.

Saksi ke-54 itu berkata demikian ketika pemeriksaan balas dengan peguam Harvinderjit Singh.

Ia dikatakan berlaku sekitar sebelum 13 Januari 2011.

Harvinderjit: Pembukaan akaun ini. Jho Low yang maklumkan kepada anda bahawa satu akaun dicadang untuk dibuka bawah nama Datuk Seri (Najib) di AmBank?

Joanna: Ya, yang Datuk Seri mahu buka akaun bank.

Harvinderjit: Dia sampaikan (communicate) kepada anda?

Joanna: Dia tanya jika Datuk Seri mahu buka (akaun), apa perkara yang diperlukan.


Peguam nak salinan emel jadi bahan bukti, pendakwaan mahu sahkan dulu

11.20 pagi: Timbalan Pendakwa Raya (DPP) V Sithambaram membantah percubaan peguam Harvinderjit Singh agar salinan satu emel - yang mengandungi siri perbualan dikatakan antara Jho Low dan bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu Ging Ping pada 2014 - ditanda sebagai bukti pembelaan.

Sithambaran memberitahu mahkamah bahawa ini kali pertama pasukan pendakwaan melihat dokumen itu dan mereka tidak pasti sumbernya dan dari mana ia diperolehi.

Katanya lagi, pengesahan ringkas oleh saksi, yang hanya berkata "mungkin", belum memadai untuk membuatkan dokumen itu diterima sebagai bukti.

V Sithambaram

"Ini hanya salinan. Kami tidak tahu ia datang dari mana, dan kami perlukan konteks (berkenaan salinan itu).

"Kami perlu periksa, Yang Arif. Ini berlaku sebelum (perbualan) BlackBerry yang ditunjukkan," kata Sithambaram.

Harvinderjit kemudian bekata, memadai untuk saksi berkata "ya", dan mahkamah harus menandakan dokumen itu sebagai 'D' (kod bagi bukti pembelaan) dan pasukan pendakwaan boleh memeriksa dan membangkitkan perkara itu kemudian.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian memutuskan salinan emel itu ditanda sebagai 'IDD', bukannya 'D'.

IDD merujuk kepada bahan yang dibangkitkan ketika perbicaraan yang belum disahkan atau dipastikan, justeru belum boleh diterima sebagai bahan bukti.


Saksi: Jho Low tak gembira aliran masuk ke akaun Najib dibawa ke lembaga

10.35 pagi: Ahli perniagaan Jho Low tidak gembira apabila pengarah urusan kumpulan Ambank pada masa itu, Ashok Ramamurthy membangkitkan aliran masuk ke akaun Najib dengan lembaga pengarah bank.

Perkara itu diberitahu bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu Ging Ping ketika pemeriksaan balas dengan peguam Harvinderjit Singh.

Harvinderjit merujuk log perbualan antara Joanna dengan Jho Low pada Oktober 2014.

Ia ketika isu berkaitan 1MDB dan akaun Najib mula mendapat perhatian media.

Harvinderjit: Ashok memberi amaran (flagged) berkenaan akaun ini?

Yu: Ya.

Harvinderjit: Ashok bangkitkannya di peringkat lembaga dan Jho (Low) tak gembira?

Yu: Dia tanya mengapa bawa akaun Najib kepada lembaga.

Harvinderjit: Jika (dana) benar-benar hadiah, ia tak jadi isu?

Yu: Bank tetap (perlu) laporkannya.

Harvinderjit Singh


10.20 pagi: Anggota Parlimen Tanjong Karang Noh Omar masuk ke mahkamah dan duduk di belakang kandang tertuduh.

Bekas pengerusi Umno Selangor itu kemudian bersalam dengan Najib ketika perbicaraan berlangsung.


Saksi: Jho Low salah seorang pelanggan terbesar saya

9.54 pagi: Bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu Ging Ping berkata ahli perniagaan yang kini diburu pihak berkuasa, Jho Low dulu menjadi salah seorang "pelanggan besar" bank itu.

"Dia ialah salah seorang pelanggan besar bank," katanya kepada peguam Harvinderjit Singh.

Ketika Harvinderjit bertanya sama ada Jho Low juga salah seorang pelanggan terbesarnya, Yu menjawab "ya".


'Jho Low, Nik Faisal beritahu jangan dedah nama Najib'

9.32 pagi: Bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu Ging Ping setuju bahawa Jho Low dan bekas CEO SRC International Nik Faisal Ariff Kamil memberitahunya agar tidak mendedahkan nama Najib Razak setiap kali ada dana masuk ke akaun banknya.

Ketika pemeriksaan balas, peguam Harvinderjit Singh bertanya kepada saksi ke-54 itu sama ada dia diberitahu oleh Low dan Nik Faisal - yang juga pemegang mandat Najib bagi akaun itu - bahawa nama bekas perdana menteri itu tidak perlu disebut.

Yu: Ya, kami diberitahu tak boleh senaraikan nama Datuk Seri (Najib).

Harvinderjit: Anda diberitahu oleh Jho (Low) bahawa ia melibatkan kerahsiaan, jadi namanya tidak harus didedah?

Yu: Saya diberitahu tentang itu oleh Jho (Low).


'Jho Low minta padam log perbualan di BlackBerry'

9.20 pagi: Perbicaraan dimulakan dengan peguam Harvinderjit Singh meneliti transkrip perbualan BlackBerry Messenger (BBM) dengan bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu Ging Ping.

Antaranya berkenaan bahagian di mana ahli perniagaan Low Taek Jho, lebih dikenali sebagai Jho Low, meminta memadam log perbualan BBM.

Menurut transkrip yang dibaca Harvinderjit, perbualan itu pada pagi 3 Mac 2015.

Joanna kemudian mengesahkan perbualan itu tetapi berkata dia tidak menuruti permintaan tersebut.

"Ya (Jho Low beritahu untuk padam log perbualan BBM), tetapi saya tak buat. Sebab saya tak tahu caranya," katanya.

Joanna tidak bersetuju bahawa dia telah memadamkan log perbualan BBM selepas Mac 2015, dan berkata perbualan yang dibuat melalui aplikasi itu sepatutnya ada dalam BlackBerry miliknya yang dirampas Bank Negara beberapa bulan kemudian.


Saksi: Jho Low beri 4 surat untuk justifikasi kredit ke akaun Najib

9.15 pagi: Bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu Ging Ping memberitahu mahkamah bahawa Jho Low memberi beberapa pucuk surat sebagai justifikasi kredit kepada akaun Najib Razak.

Ketika pemeriksaan balas dengan peguam Harvinderjit Singh, dia berkata menerima empat pucuk surat pada 2014 sebagai dokumen sokongan untuk kredit ke dalam akaun Najib dengan nombor berakhir 694 dan 880.

Dia berkata telah menyerahkan semua surat itu kepada pengarah kumpulan AmBank ketika itu, Cheah Tek Kuang.

Bagaimanapun dia berkata tidak pasti sama ada Cheah ada menunjukkan surat tersebut kepada gabenor Bank Negara ketika itu, Zeti Akhtar Aziz.

Harvinderjit: Anda beri semua surat kepada Cheah.

Joanna: Ya.

Harvinderjit: Berdasarkan pemahaman anda, dia ada tunjuk (surat) kepada gabenor (Bank Negara)?

Yu: Saya tahu mereka berjumpa tetapi tak pasti apa yang berlaku dalam pertemuan itu.

Yu, saksi ke-54 pendakwaan, turut mengesahkan mesej BBM dari Jho Low pada 20 Jun 2014 yang memintanya menunjukkan surat itu kepada Cheah agar dapat disampaikan kepada Zeti.


9 pagi: Tertuduh, Najib Razak masuk ke mahkamah dan duduk di barisan depan galeri awam untuk menunggu perbicaraan bermula.

Turut dilihat ialah peguamnya Harvinderjit Singh dan pasukan pembelaan lain, serta Peguam Negara Tommy Thomas dan para timbalan pendakwa raya.


Perbicaraan Najib Razak berkenaan kes SRC International akan bersambung hari ini selepas penangguhan semalam susulan salah seorang peguam bekas perdana menteri, Harvinderjit Singh, yang tidak sihat.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali semalam dengan jelas mengatakan pasukan pembelaan perlu membuat perancangan agar peguam lain boleh memeriksa balas saksi ke-54 pendakwaan, Joanna Yu Ging Ping hari ini, jika Harvinderjit masih belum pulih.

Berbeza dengan hari-hari sebelumnya, semalam hanya dua peguam Najib, Syahirah Hanafiah dan Wan Aizuddin Wan Mohammed, yang hadir perbicaraan.

Wan Aizuddin memberitahu Mohd Nazlan selain Harvinderjit yang tidak sihat, ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah juga sibuk dengan kes-kes yang didengar seorang lagi hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Su Geok Yiam, sebelum beliau bersara hujung bulan ini.

Ketika Mohd Nazlan bertanya mengapa peguam lain tidak boleh mengendalikan pemeriksaan balas, Wan Aizuddin berkata ini kerana mereka tidak menerima arahan berkenaannya.

Selepas mengingatkan dua peguam itu tentang keperluan perancangan alternatif, Mohd Nazlan membenarkan perbicaraan ditangguhkan ke hari ini.

Lihat Komen
ADS