Jambatan Indah: Tunggu arahan lanjut dari Kabinet Rabu ini
Kabinet akan dimaklumkan mengenai perkembangan terkini mengenai perundingan dengan Singapura, termasuk isu pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor.
Kabinet akan dimaklumkan mengenai perkembangan terkini mengenai perundingan dengan Singapura, termasuk isu pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor.
Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata beliau akan memaklumkan kepada Kabinet mengenai perkara itu dalam mesyuaratnya Rabu depan.
Katanya, Malaysia dan Singapura telah mencapai kata sepakat seperti yang diumumkannya Ahad lalu, mengenai pelbagai isu, termasuk pembinaan jambatan dan yang penting kini ialah untuk mengatur mesyuarat teknikal bagi memutuskan perkara-perkara tersebut secara terperinci.
"Kalau Kabinet mengatakan kita boleh teruskan mesyuarat teknikal, maka kita akan teruskan. Kita hendak teruskan dengan jambatan kita yang indah itu tanpa berunding dengan mana-mana pihak. Kita akan ikut arahan daripada Kabinet.
"Buat masa ini arahan Kabinet adalah untuk kita berunding. Perundingan itu adalah hasil arahan Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) dan Kabinet," katanya ketika ditanya mengenai perkembangan terbaru isu itu.
Terdahulu Syed Hamid merasmikan sambutan Hari Keluarga Wisma Putra 2006 di Desa Water Park di sini.
Ditanya mengenai hasil perundingan itu, Syed Hamid berkata ia positif kerana kedua-dua pihak telah bersetuju dalam banyak perkara.
Isu tertunggak
Ahad lalu, Syed Hamid berkata rundingan dua-hala Malaysia-Singapura selama beberapa tahun mengenai pelbagai isu tertunggak, termasuk pembinaan jambatan indah, mula menunjukkan hasil.
Menurut Bernama, Syed Hamid juga ditanya mengenai pesawat yang tidak dikenali yang berlegar-legar di ruang udara berhampiran Gelang Patah, Johor.
"Jangan kita tengok ada kapal terbang ini ada pencerobohan. Sebab kita fikir adalah merbahaya menaikkan semangat khuatir dan tidak tenang dengan negara-negara jiran.
"Kita mempunyai sikap terbuka, kita tak mahu memusuhi (sesiapa). Bukan bermakna kita lembik atau lembut. Jangan kita bangkitkan ketakutan hingga orang takut nak datang ke rantau kita. Mengikut laporan (pesawat) berkenaan bukan dalam ruang udara kita," katanya.
Semalam Perdana Menteri berkata maklumat awal yang diperolehi oleh pihak polis, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Kementerian Pertahanan mendapati pesawat itu berada di ruang udara Singapura.

