Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
J'kuasa disiplin PKR akan minta penjelasan Farhash, Amirudin
Diterbitkan:  Jul 25, 2019 3:04 PM
Dikemaskini: 8:04 AM

Jawatankuasa Disiplin PKR akan menghantar surat kepada beberapa anggota parti itu susulan kenyataan mereka berhubung video seks yang mengaitkan timbalan presiden Mohamed Azmin Ali.

Antaranya ialah Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Setiausaha Politik Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador.

Selain diberi peringatan untuk berhati-hati dalam perkataan dan tindakan, mereka juga akan diminta menjelaskan kenyataan yang dikeluarkan berhubung perkara itu.

Bagaimanapun, sumber memberitahu Malaysiakini bahawa surat itu tidak dikira sebagai surat tunjuk sebab.

Amirudin juga merupakan pengerusi PKR Selangor manakala Farhash pengerusi PKR Perak.

Jawatankuasa itu berkata keputusan untuk menghantar surat itu selaras dengan resolusi yang dicapai ketika pemukiman pemimpin PKR minggu lepas yang mahu pergeseran dalam parti itu diselesaikan.

"Jawatankuasa disiplin berhak mengambil tindakan jika peringatan ini tidak mendapat maklum balas positif daripada mereka yang terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan mesyuarat biro politik PKR semalam, Pengarah Komunikasi Fahmi Fadzil berkata biro itu memberitahu jawatankuasa disiplin untuk memanggil beberapa pemimpin dan anggota parti ekoran kenyataan mereka.

Kenyataan Farhash dibuat ketika dia dibebaskan daripada reman Selasa lalu.

Dia antara beberapa individu yang ditahan berkaitan siasatan penyebaran video seks itu.

Dalam kenyataan semalam, Farhash mengakui dia marah terhadap Azmin.

“Saya marah dengan Azmin. Lepas dibebaskan, saya menyerangnya secara lisan sebab jika kita sebagai rakyat Malaysia perlu hormati undang-undang, kenapa dia berselindung di balik keistimewaan yang dia ada?” soalnya.

Sementara itu, surat kepada Amirudin pula dipercayai berkenaan kenyataannya bahawa dalang di sebalik video itu ialah "mereka yang pernah melalui detik sejarah hitam ini, yang pernah berjuang melalui detik sejarah hitam ini dan melawan detik sejarah hitam ini".

Sumber juga mengatakan seorang lagi yang dirujuk jawatankuasa disiplin ialah penasihat Azmin iaitu Khalid Jaafar, yang mencadangkan agar Anwar bersara daripada politik.

Lihat Komen
ADS