Penglibatan ahli politik dalam syarikat milik kerajaan (GLC) seperti Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) bukan satu bentuk campur tangan politik, sebaliknya lebih ke arah membantu meningkatkan sektor pertanian.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata perkara itu tidak sepatutnya dilihat sebagai perkara negatif kerana mungkin ahli politik yang dilantik itu mempunyai kepakaran tertentu dalam bidang pertanian dan boleh menyumbang sesuatu dalam sektor berkenaan.

"Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pernah nyatakan kita kena tengok semula di mana punca yang menyebabkan sektor pertanian negara tidak berkembang.

“Kalau lihat dari soal politik sahaja itu tidak berapa menyeluruh sebab banyak lagi aspek yang perlu dilihat antaranya macam mana nak besarkan lagi estet padi negara," katanya kepada pemberita di Alor Setar, hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Kedah 2019 dan Minggu Keusahawanan Peringkat Zon Utara yang turut dihadiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Dalam ucapannya, Mukhriz berkata seperti sektor lain, pertanian juga sentiasa mengalami perubahan dan ada dasar perlu dikaji semula bagi memastikan pendekatan yang digunakan lebih efisien, produktif, berdaya saing dan berkeupayaan dalam mengeluarkan bahan makanan yang selamat.

Dalam perkembangan lain, mengenai tindakan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mahu melancarkan Tabung Dana Umno bagi kelangsungan aktiviti politik parti itu dan sebagai persediaan Pilihan Raya Umum Ke-15, Mukhriz yang juga Timbalan Presiden Bersatu berkata ia adalah tidak relevan.

“Sebelum ini tidak pernah timbul isu mahu kutip dana ini kerana kita tahu dana UMNO sebelum ini mencukupi, ia hanya mahu beri gambaran seolah-olah parti itu tiada duit tapi saya rasa banyak lagi baki duit mereka.

“Kalau mereka buat juga (kutip dana), itu maksudnya Umno masih tidak faham dan anggap dengan duit mereka boleh memenangi hati rakyat,” katanya.

- Bernama