SPR mohon maaf atas keracunan makanan di politeknik
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini memohon maaf atas kejadian keracunan makanan di sebuah politeknik di Pulau Pinang.
“SPR, menzahirkan rasa kesal, memohon maaf dan bersimpati atas kejadian yang telah menimpa para pelajar Politeknik Balik Pulau, Pulau Pinang,” kata pengerusinya, Azhar Azizan Harun dalam satu kenyataan.
Azhar berkata SPR, melalui Akademi Pilihan Raya (APR) telah menganjurkan program pendidikan pengundi bersama Politeknik Balik Pulau semalam bagi memberi pendedahan dan pendidikan tentang proses pilihan raya di Malaysia yang melibatkan seramai 207 pelajar
“Pihak SPR telah melantik syarikat pembekal makanan tempatan bagi menyediakan makan tengahari kepada para pelajar, tenaga pengajar dan petugas SPR semasa program ini.
“Berdasarkan maklumat yang diterima daripada Hospital Balik Pulau, seramai 85 orang pelajar telah disahkan mengalami keracunan makanan dan daripada jumlah ini, 84 orang telah menerima rawatan sebagai pesakit luar manakala seorang pelajar telah dimasukkan ke wad bagi rawatan lanjut.
“Susulan kejadian ini, SPR telah dimaklumkan bahawa siasatan telah dimulakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang bagi mengenalpasti punca kejadian,” katanya.
Azhar menasihatkan mana-mana pelajar dan tenaga pengajar yang terlibat untuk melakukan pemeriksaan kesihatan sekiranya masih merasa tidak sihat dan terdapat tanda-tanda keracunan makanan.
Semalam, dilaporkan bahawa beberapa pelajar dari Politeknik Balik Pulau dikejarkan ke hospital selepas mengalami sakit perut.

