Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM: Siasatan jam mewah selesai, tunggu maklum balas AGC

Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap setiausaha politik menteri pertanian dan industri asas tani berkenaan jam tangan mewah yang dimilikinya telah selesai, kata Latheefa Koya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM itu berkata pihaknya telah menghantar kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) awal bulan ini.

"Berkenaan siasatan melibatkan setiausaha politik menteri pertanian berkenaan jam tangan mewah, SPRM telah selesai menyiasat dan menghantar kertas (siasatan) untuk tindakan lanjut kepada AGC pada 10 Julai 2019, dan sedang menunggu maklum balas," katanya menerusi pesanan teks.

Beliau ditanya berkenaan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong semalam, bahawa SPRM telah membersihkan Ahmad Sabki Yusof daripada kesalahan.

Liew berkata Sabki membeli sendiri jam tangan itu.

Bagaimanapun, dalam satu surat oleh Sabki kepada Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) Abu Kassim Mohamed yang dilihat Malaysiakini, mengaku jam tangan itu sebagai pemberian.

Bagaimanapun Latheefa enggan mengulas lanjut ketika diminta mengesahkan perkara itu.

"Kami tak boleh ulas lanjut, kita telah selesaikan siasatan dan serah kertas (siasatan)," katanya.

Lihat Komen
ADS