Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Anwar hasrat percepat peralihan ke dasar ekonomi berasaskan keperluan

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata beliau akan mempercepat peralihan daripada dasar ekonomi afirmatif berasaskan kaum kepada berasaskan keperluan apabila menjadi perdana menteri.

"Ini pendirian Pakatan Harapan (PH). Ini pendirian Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

"Apa yang saya perlu buat ialah mempercepat proses itu... Saya sama komited, kalau pun tidak lebih, dalam soal mengurangkan ketaksamaan dan mengangkat kedudukan golongan miskin," katanya ketika sidang media selepas acara Simposium Ekonomi Malaysia di Parlimen, hari ini.

Katanya Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan pada 1970-an sudah lapuk.

Bagaimanapun, kata Anwar dasar itu perlu diganti dengan tekad untuk tindakan afirmatif berdasarkan keperluan yang melibatkan sektor awam dan swasta.

Beliau juga mengambil maklum kerajaan perlu mempercepatkan pengagihan dana melibatkan tindakan afirmatif.

"Kami perlu mencipta kesedaran bahawa rakyat Malaysia - orang Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan perlu dilihat sebagai satu masyarakat dengan hak-hak dan keistimewaan yang saksama," katanya.

Ketika ditanya sekiranya beliau akan menghapuskan sistem kuota di bawah pemerintahannya kelak, Anwar menjawab beliau tidak akan mempertikaikan sistem kuota itu jika ia adalah sebahagian daripada keistimewaan Melayu yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

"Tadi (ketika berucap) saya beri tahu konglomerat Cina yang hadir, saya kata kamu kena lakukan suatu yang lebih," katanya.

Menjelaskan lanjut, Anwar berkata pelajar Melayu miskin perlu dibantu penguasaan berbahasa Inggeris dengan menyertai kursus intensif.

"Kalau kamu tak hendak dasar perkauman kamu kena bantu.

"Jangan anak Melayu yang siswazah ini tak dapat kerja, tak boleh, kerana dia miskin dia tak boleh berbahasa Inggeris (jadi) bagi kursus intensif bahasa Inggeris.

"Tapi nak teruskan dasar yang membezakan kaum, bagi saya pun tak kena, kita nak tengok perubahan masa," katanya lagi.

Menurut Anwar dalam teks ucapannya berkata agihan kekayaan yang adil dan saksama yang dapat dibuat apabila berlaku pengembangan dalam kek ekonomi.

Pada Mac lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin ALi berkata kerajaan sedang merangka dasar ekonomi baru untuk orang Melayu yang berpaksikan pertumbuhan, keadilan dan agihan kekayaan yang saksama.

Simposium itu menampilkan taklimat berkenaan ekonomi negara oleh pegawai tinggi kerajaan.

Dihadiri anggota parlimen dan diplomat, acara itu dianjurkan Parlimen dengan kerjasama Majlis Ahli-ahli Backbencher dan Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus yang dipengerusikan Anwar.

Dalam ucapannya, Anwar mengulas panjang tentang dasar ekonomi berdasarkan kaum.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS