Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tak betul dakwaan pegawai Jaim tamat kontrak sebab Wan Ji'
Diterbitkan:  Jul 26, 2019 6:32 PM
Dikemaskini: 10:32 AM



Kerajaan negeri menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya kontrak Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa, Jabatan Agama Islam Melaka (Jais) Rahimin Bani ditamatkan serta-merta ekoran memberi saranan supaya kerajaan tidak memberikan kebenaran kepada pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussin (Wan Ji) untuk menyampaikan ceramah di sebuah masjid di Kampung Parit Melana, Durian Tunggal di Melaka, baru-baru ini.

Ketua Menteri Melaka Adly Zahari berkata sebaliknya kontrak perkhidmatan Rahimin masih berbaki sebulan dan akan tamat pada 31 Ogos ini dan setakat ini beliau masih lagi berkhidmat di jabatan berkenaan.

Katanya, perkhidmatan Rahimin telahpun tamat pada Disember tahun lepas namun disambung untuk tempoh setahun.

“Bagaimanapun tempoh kontrak terbabit dipendekkan hingga 31 Ogos bagi memberi laluan kepada pegawai-pegawai baru menggalas tanggungjawab tersebut selepas terdapat calon yang sesuai.

“Setakat ini terdapat empat calon yang dikenal pasti bagi mengisi kekosongan jawatan itu dan keutamaan akan diberikan kepada kakitangan Jaim dan juga Majlis Agama Islam Melaka (Maim)," katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Hari Bertemu Rakyat, di Seri Bendahara Ayer Keroh, di Melaka, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu penamatan kontrak Rahimin yang tular di media sosial hari ini kononnya penamatan kontraknya ada kaitan dengan kuliah penceramah Wan Ji baru-baru ini.

Ketua Menteri berkata penstrukturan di setiap jabatan kerajaan adalah merupakan perkara biasa dan ia berlaku pada setiap masa.

Kerajaan negeri kata Adly bagaimanapun amat menghargai jasa dan sumbangan Rahimin sepanjang berkhidmat dengan jabatan itu.

Sementara itu, Rahimin ketika dihubungi mengesahkan kontraknya akan tamat pada 31 Ogos ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS