Terjemahan Pihak media, parti-parti pembangkang dan pertubuhan masyarakat menjadi sasaran kritikan Jawatankuasa Pemantau Polis dan Hak Asasi Manusia (PWHRC) kerana didakwa tidak memberi perhatian kepada kes-kes salahguna kuasa oleh pihak polis terhadap mangsa berketurunan India.

PWHRC mendakwa, pihak berkenaan tidak melihat sebarang 'nilai berita' dan 'keuntungan' yang boleh diperolehi daripada kes-kes seumpama itu.

Sebaliknya, PWHRC mendakwa, mereka lebih memberi tumpuan kepada kes-kes yang membabitkan rakyat majoriti Melayu dan golongan Cina yang menguasai bidang ekonomi.

Dakwaan tersebut terkandung dalam laporan jawatankuasa tersebut setebal 106 halaman yang bertajuk 'Kad Kemajuan Polis Malaysia 2005'. (for full report, click here).

'Turut berdiam diri'

Laporan mengambil contoh kes seorang wanita rakyat India yang dihukum penjara kerana kesalahan imigresen, selepas dia membuat laporan polis, mendakwa dirogol oleh lima lelaki.

Menurut PWHRC lagi, sikap tidak sensitif pihak berkuasa ini diburukkan lagi dengan sikap parti-parti pembangkang, pertubuhan masyarakat dan pihak media yang "turut berdiam diri" terhadap perkara tersebut.

PWHRC menganggarkan 60 peratus mangsa kes salahguna kuasa oleh pihak polis membabitkan rakyat Malaysia keturunan India, yang merupakan 8 peratus penduduk negara ini.

Dan pada kebiasannya, kata laporan itu lagi, mangsa seumpama itu tidak mampu mendapatkan khidmat peguam atau membayar ikatjamin, dan oleh itu, terpaksa mengaku bersalah sahaja.

"Mereka mungkin tidak bersalah, tetapi menjadi mangsa keadaan. Akibatnya, mereka mungkin menjadi penjenayah tegar selepas menjalani hukuman penjara bersama-sama penjenayah sebenar," kata laporan itu lagi.

Basmi kemiskinan

Oleh itu, PWHRC merayu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, selaku Menteri Keselamatan Dalam Negeri, supaya mengarah pihak media jangan mengamalkan sikap diskriminasi liputan kes membabitkan pelanggaran hak asasi manusia berdasarkan kepada faktor keturunan dan kerakyatan.

Laporan itu juga menggesa supaya satu program bertindak diambil untuk membasmi kemiskinan di kalangan masyarakat India bagi menangani masalah jenayah dan kongsi gelap.

Menurut Penasihat Undang-undang PWHRC, P Uthayakumar, salinan laporan itu dihantar kepada Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Kementerian Pelajaran bagi pihak Ketua Pemuda Umno, Datuk Hishammuddin Tun Hussien, ibupejabat polis dan Pejabat Peguam Negara. Berita asal