Burma akhirnya menetapkan tarikh lawatan wakil khas Asean, Datuk Seri Syed Hamid Albar untuk meninjau perkembangan pembaharuan proses demokrasi di negara itu.

Syed Hamid yang juga menteri luar Malaysia, memberitahu AFP hari ini, beliau akan melawat Burma bulan ini tetapi tidak menyatakan tarikh sebenarnya bagi mengelak "terlalu banyak publisiti".

"Tarikhnya telah ditetapkan untuk lawatan saya bulan ini," kata Syed Hamid.

Beliau pada mulanya dijadual melawat Burma Januari lalu tetapi kerajaan tentera negara itu berkata pihaknya sedang sibuk dengan proses pemindahan ibu negaranya.

Penangguhan tersebut dipercayai ada kaitan dengan permintaan Syed Hamid untuk menemui pemimpin pro-demokrasi Burma, Aung San Suu Kyi, yang menghabiskan 16 tahun masanya di penjara atau dikenakan tahanan di rumah.

Ditanya sama ada beliau masih berharap untuk menemui pemenang Hadiah Nobel Keamanan itu, Syed Hamid berkata, beliau akan ke Burma dengan "fikiran yang terbuka".

'Bina kepercayaan'

"Saya akan ke sana dengan fikiran yang terbuka. Saya ingin menemui semua yang terbabit dalam proses pembaharuan tersebut," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu mana-mana pihak terlalu mengharapkan 'sebarang kejayaan' daripada lawatannya itu berhubung isu tersebut.

"Jangan terlalu mengharap. Saya berharap lawatan ini menjadi sebahagian daripada mekanisme ke arah meningkatkan tahap keyakinan. Untuk membina kepercayaan. Pada akhirnya, proses itu bergantung kepada Myanmar sendiri (mewujudkan demokrasi)," katanya.

Burma kini menjadi sasaran masyarakat antarabangsa yang mendesak kerajaan tentera negara itu supaya mengembalikan amalan demokrasi.

Kerajaan tentera negara itu telah bertindak terhadap rakyat yang menyertai demonstrasi pro-demokrasi pada 1988 dan dua tahun kemudiannya, mereka menolak keputusan pilihanraya negara itu yan dimenangi oleh parti pimpinan Aung San Suu Kyi.

Asean yang dianggotai oleh 10 negara di rantau Asia Tenggara memutuskan supaya Syed Hamid ke Burma dalam mesyuarat tahunannya Disember lalu.