Pemimpin BN sertai perhimpunan bantah keputusan kjaan negeri pindah setinggan
Kira-kira 5,000 orang, kebanyakannya masyarakat Kadazandusun mengadakan perhimpunan secara aman di Kampung Maang, Sabah, kerana membantah keputusan kerajaan negeri untuk memindahkan lebih 2,000 orang dari kawasan setinggan Sri Tanjung di Petagas ke kawasan Maang.
Kira-kira 5,000 orang, kebanyakannya masyarakat Kadazandusun mengadakan perhimpunan secara aman di Kampung Maang, Sabah, kerana membantah keputusan kerajaan negeri untuk memindahkan lebih 2,000 orang dari kawasan setinggan Sri Tanjung di Petagas ke kawasan Maang.
Bagaimanapun, kehadiran beberapa pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) negeri dalam perhimpunan tersebut dianggap oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin sebagai "sedikit lari daripada prinsip rundingan perkongsian kuasa BN".
Katanya, kabinet negeri secara kolektif memutuskan untuk memindahkan hanya separuh daripada setinggan yang terjejas selepas menimbangkan pandangan dan cadangan semua pihak berkepentingan.
"Kini, ia menjadi tanggungjawab wakil rakyat, sama ada anggota Dewan Undangan Negeri atau anggota Parlimen, untuk memberikan penjelasan rasional di sebalik keputusan Kabinet itu.
"Jika mereka masih meraguinya, mereka patut berjumpa dan bertanya kepada Ketua Menteri (Datuk Seri Musa Aman) terlebih dahulu bagi penjelasan lanjut...ini selaras dengan semangat rundingan dalam BN," katanya kepada pemberita selepas melancarkan projek pertama rumah mampu milik Syarikat Perumahan Negara Berhad di Sabah di Putatan di Kota Kinabalu hari ini.
Identiti diragui
Menurut laporan Bernama, bantahan itu dibuat berikutan dakwaan identiti penduduk setinggan Sri Tanjung itu diragui, sementara ada antaranya didakwa datang dari kawasan lain negeri ini.
Semasa mempertahankan keputusan kerajaan itu, Yahya berkata pemindahan itu perlu bagi membolehkan pelaksanaan projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
"Lapangan Terbang itu bukan hanya untuk penduduk Putatan atau Bumiputera sahaja...ia demi kebaikan bersama khususnya bagi industri pelancongan kita. Malangnya, ada penduduk setinggan menghuni di kawasan yang dimaksudkan itu (Sri Tanjung)...jadi kita tiada pilihan selain memindahkan mereka
"Sebab itu kenapa Kabinet memutuskan untuk memindahkan mereka ke kawasan Maang...dan ia hanya melibatkan separuh daripada penghuni berkenaan," katanya.
Rabu lalu, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata berdasarkan statistik, penduduk dari Sri Tanjung yang akan dipindahkan merupakan penduduk tempatan yang terdiri daripada orang Bajau, Kadazandusun, Brunei, Bisaya dan Bugis.
"Tidak akan ada pendatang tanpa izin. Kami tidak akan benarkan itu berlaku," katanya.

