NUTP sambut baik hasrat kementerian tambah baik subjek Sejarah
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyokong Kementerian Pendidikan yang berhasrat menambah baik sukatan mata pelajaran Sejarah bagi tingkatan empat dan lima agar menjadi lebih menarik dan menepati keperluan semasa.
Ia merujuk kenyataan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik bahawa langkah itu bagi memberi pendedahan dan pemahaman mengenai amalan demokrasi serta pilihan raya.
Setiausaha Agung NUTP Harry Tan Huat Hock berkata pihaknya menyambut baik sebarang cadangan penambahbaikan daripada kerajaan.
“Sejarah satu mata pelajaran dinamik, jadi kita mengalu-alukan apa saja penambahbaikan. Mata pelajaran ini mesti lebih relevan dan dinamik.
“Pihak kami tidak ada halangan kecuali apabila guru diminta untuk membuat laporan yang berlebihan sehingga mengganggu pengajaran dan pembelajaran di kelas,” katanya lapor Berita Harian.
Pada 18 Julai lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bercadang mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan bagi menyediakan modul pendidikan pengundi kepada pelajar sekolah untuk memberi pemahaman mengenai demokrasi dan pilihan raya.
Pengerusinya Azhar Azizan Harun, berkata pendidikan mengenai demokrasi dan pilihan raya perlu didedahkan sejak awal usia persekolahan supaya mereka lebih bersedia dan memahami proses itu.
Ia susulan daripada penurunan had usia mengundi daripada 21 tahun ke 18 tahun yang diluluskan Parlimen baru-baru ini.

