Kerajaan tolak permohonan MAS naik tambang domestik
Kerajaan menolak permohonan Penerbangan Malaysia Berhad (PMB), syarikat induk Malaysia Airlines (MAS) untuk menaikkan tambang penerbangan domestik sebanyak 10 peratus, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Chan Kong Choy hari ini.
Kerajaan menolak permohonan Penerbangan Malaysia Berhad (PMB), syarikat induk Malaysia Airlines (MAS) untuk menaikkan tambang penerbangan domestik sebanyak 10 peratus, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Chan Kong Choy hari ini.
Bagaimamanapun, Chan berkata, ini tidak bermakna kerajaan menolak sama sekali permohonan PMB itu tetapi hanya "tidak menyetujuinya pada ketika ini."
"Sudah tentulah terdapat asas (bagi menaikkan tambang domestik) memandangkan kali terakhir tambang domestik MAS dinaikkan ialah 13 tahun lepas," kata beliau kepada pemberita selepas majlis graduasi Sheffield Hallam University hari ini.
Chan enggan menyatakan sebab di sebalik keputusan "tidak bersetuju" yang dibuat oleh kerajaan "beberapa minggu lalu."
Menurut laporan Bernama, PMB baru-baru ini mengemukakan cadangan kepada kerajaan, memohon kenaikan tambang domestik 10 peratus bagi semua penerbangan domestik yang dikendalikan oleh MAS.
Ditanya sama ada keputusan itu kekal meskipun setelah plan rasionalisasi penerbangan domestik sepenuhnya diumumkan selepas 27 Mac, Chan berkata: "Ya, sungguhpuh selepas plan rasionalisasi diumumkan, kami tidak menyetujuinya".
Pulih perniagaan MAS
Mengenai sama ada keputusan itu akan menjejaskan plan pemulihan perniagaan MAS, Chan berkata: "Agak terlalu awal untuk berkata begitu."
Beliau bagaimanapun berkata, kerajaan meluluskan permohonan PMB untuk menaikkan surcaj bahan api dalam lingkungan sektor domestik RM36 (daripada RM15) bagi penerbangan antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak dan RM15 (daripada RM7.50) bagi penerbangan domestik dalam lingkungan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Surcaj bahan api perkhidmatan udara luar bandar (RAS) kekal pada RM7.50.
Chan berkata kelulusan bagi menaikkan surcaj bahan api domestik itu berikutan peningkatan harga bahan dan adalah adil untuk menyemaknya semula.
"Dengan penyemakan tu, mereka (MAS) dapat memperolehi 30-40 peratus. Mereka hanya menyerap kenaikan kos tambahan, tetapi bantulah mereka untuk memperolehi sedikit lagi," katanya.
MAS pada mulanya mengenakan surcaj bahan api domestik pada pertengahan tahun lalu, manakala bagi laluan antarabangsa, syarikat penerbangan nasional itu menaikkan surcaj bahan apinya sebanyak tiga kali sejak kaedah itu dilaksanakan.

