Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Forum yang membincangkan tentang masyarkat Orang Asli hari ini menyimpulkan bahawa buli, diskriminasi dan rasa takut kehilangan identiti adalah antara faktor yang menyebabkan anak-anak masyarakat itu berhenti sekolah.

Menurut Jabatan Pembangunan Orang Asli (Jakoa), kadar keciciran sekolah menengah dalam masyarakat itu semakin meningkat dan mencapai 51.06 peratus pada tahun 2018.

Panel forum itu juga berkongsi bagaimana anak-anak Orang Asli dipanggil dengan gelaran yang menghina dan bahkan dibuli secara fizikal di sekolah kerana identiti mereka.

Guru Samuel Isaiah yang bekerja di sekolah rendah Orang Asli SK Runchang di Pahang, berkata perkara seumpama itu telah menyebabkan beberapa bekas pelajarnya berhenti dari sekolah.

"Sebilangan pelajar saya, ketika mereka meninggalkan Tahun 6 dan mereka pergi ke sekolah menengah, mereka akan dengan cepat berhenti sekolah.

"Sering kali apabila saya bertanya kepada mereka, buli akan menjadi salah satu perkara utama yang mereka bawa. Mereka dibuli kerana bangsa mereka - nama panggilan, bahkan buli fizikal dan perkara seperti itu, " katanya pada forum yang diadakan di Kampus Taylor Lakeside University, Subang Jaya.

Panelis lain, yang juga merupakan guru, Jenita Engi mengimbas bagaimana dia dipanggil dengan gelaran yang tidak menyenangkan oleh rakan sekolahnya kerana berasal dari keturunan Orang Asli Temuan.

Juli Edo.

Ketua Pengarah Jakoa Juli Edo, yang merupakan Orang Asli Semai turut berkongsi pengalaman serupa.

"Saya dibuli. Semasa saya bersekolah, orang biasa memanggil saya Sakai bodoh.

"Tetapi itu membuatkan saya mahu menjadi pintar supaya mereka boleh memanggil saya Sakai pandai. Akhirnya, saya memang menjadi seorang Sakai pintar.

"Selepas saya mengkaji makna Sakai, (mereka) sebenarnya rakyat negara saya [...] tidak ada apa yang perlu dimalukan," katanya.

Tanggapan salah

Sebelum memegang peranannya sekarang, Juli menjadi ahli antropologi di Universiti Malaya dan merupakan Orang Asli pertama di negara ini untuk mendapatkan PhD.

Gelaran 'Sakai', meskipun merujuk suku Orang Asli, sering digunakan sebagai gelaran yang menghina terhadap orang-orang yang dianggap mundur.

Ahli panel juga menjelaskan tanggapan yang mengatakan Orang Asli menghalang anak-anak mereka daripada meneruskan sekolah kerana mereka tidak menyedari betapa pentingnya pendidikan adalah salah.

Kata Jenita, buli menyebabkan ibu bapa Orang Asli bimbang tentang keselamatan anak-anak mereka sekiranya mereka dihantar ke sekolah jauh dan menjadi etnik minoriti.

Ibu bapa Orang Asli juga dikatakan tidak mempercayai sistem sekolah, menganggapnya sebagai bersifat diskriminasi, etnosentris dan bertujuan mengubah agama anak-anak mereka menjadi Islam.

Juli turut membidas Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), yang bertanggungjawab menyediakan Orang Asli dengan pendidikan prasekolah.

"Kemas bertanggungjawab untuk pendidikan tetapi agenda mereka kelihatan berbeza, iatu asimilasi pada peringkat awal. Ini menyebabkan ibu bapa tidak mahu menghantar anak mereka ke tadika.

"[...] Kepercayaan Orang Asli tidak diiktiraf sebagai agama sehingga orang menganggap Orang Asli perlu diberi agama. Dan agama itu adalah agama rasmi persekutuan.

"Ibu bapa Orang Asli menyedari betapa pentingnya pendidikan tetapi mereka juga mahu anak mereka mengekalkan identiti Orang Asli mereka," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS