Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR N Sembilan jadi pimpinan negeri ke-5 sokong Anwar
Diterbitkan:  Jul 27, 2019 8:19 PM
Dikemaskini: 1:42 PM

PKR Negeri Sembilan hari ini menjadi kumpulan terbaru menyatakan sokongan kepada presiden parti mereka Anwar Ibrahim, meskipun terdapat gesaan agar perakuan sokongan seperti itu dihentikan.

Tujuh daripada lapan ketua Cabang Negeri Sembilan, selain 17 pemimpin peringkat negeri menandatangani perakuan sokongan berkenaan.

Pengerusi PKR Negeri Sembilan Aminuddin Harun yang juga merupakan menteri besar negeri itu mengetuai senarai nama pemimpin negeri yang menyatakan sokongan kepada Anwar.

Pengerusi PKR Rembau, R Tangam yang dilihat rapat dengan kem Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali turut menandatangani perakuan sokongan itu.

Bekas pemimpin PKR negeri Sembilan Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Chegubard dalam kenyataan di Facebook semalam mendakwa pemimpin negeri mengugut "menyenarai hitam" ketua Cabang yang tidak menyatakan sokongan kepada Anwar.

Semalam, Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin yang juga dilihat sebagai orang kuat Azmin, mempertikaikan surat akuan seumpamanya yang dikeluarkan pemimpin PKR negeri.

Zuraida juga berkata ketua Cabang yang menandatangani surat perakuan itu kemungkinan dipaksa dan menggesa Anwar mengeluarkan arahan sebagai presiden PKR agar surat perakuan sokongan seperti itu dihentikan.

Selain Negeri Sembilan, negeri lain yang menyatakan sokongan dengan surat perakuan seumpamanya adalah Johor, Pulau Pinang, Perak dan Pahang.

Kandungan surat perakuan itu sama seperti surat perakuan sokongan yang ditandatangani 22 pemimpin PKR pada pemukiman parti itu hujung minggu lalu di Port Dickson.

Perakuan sokongan itu dilihat dimulakan oleh penyokong Azmin pada 18 Julai lalu melalui kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh sekumpulan ahli parlimen PKR dan ahli majlis pimpinan pusat (MPP).

Konflik dalaman PKR berlaku susulan kenyataan Anwar agar Azmin meletakkan jawatan sekiranya klip video seks yang dikaitkan dengan menteri hal ehwal ekonomi itu tulen.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador sebelum ini mengesahkan ketulenan klip video seks itu, namun menambah bahawa hasil pengecaman wajah tidak dapat dikaitkan dengan Azmin.

Ketua polis negara juga mendedahkan bahawa pihak yang terlibat dalam penghasilan dan pengedaran klip video itu didalangi pemimpin parti politik dan melibatkan belanja ratusan ribu.

Azmin menafikan dakwaan melakukan aksi seks sejenis dalam klip video itu, seperti didakwa bekas ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Azmin turut menyifatkan ia merupakan usaha pihak dalam partinya untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Setiausaha politik Anwar merupakan antara individu yang ditahan pihak polis dalam siasatan klip video seks itu. Anwar bagaimanapun menafikan sebarang penglibatan dalam kontroversi berkenaan.

Lihat Komen
ADS