Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M: Pendirian saya tak bercanggah isu video seks
Diterbitkan:  Jul 28, 2019 1:00 PM
Dikemaskini: 6:31 AM

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menafikan beliau menunjukkan pendirian bercanggah berhubung isu seks membabitkan pemecatan anggota kabinet pada era pentadbirannya pada 1998 dan video intim dikaitkan dengan seorang menteri baru-baru ini.

Melalui cacatan di laman blognya, Mahathir berkata beliau tidak mempengaruhi pemecatan Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri ketika itu, sebaliknya ia diputuskan mahkamah.

"Tidak ada percanggahan. Tindakan yang diambil pada 1998 tidak berdasarkan klip video.

"Mahkamah telah membuat keputusan itu. Video-video yang berikutnya tidak mempengaruhi mahkamah atau orang lain, tidak mempengaruhi saya," kata Mahathir.

Menurut pengerusi PH itu lagi, penyebaran video intim yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali, jelas mempunyai agenda untuk membunuh karier politik individu tertentu.

Kelmarin, pemimpin Umno mempertikaikan kenyataan Mahathir berhubung isu video seks yang disifatkannya sangat bahaya apabila beliau didakwa seolah-olah mengetepikan soal moral demi kepentingan politik.

Anggota Majis Tertinggi Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata sepatutnya soal mencari kebenaran harus menjadi keutamaan perdana menteri.

"Komen beliau (Mahathir) dalam blognya mengenai isu video Azmin-Haziq amat berbahaya. Pada beliau moral tidak penting dalam politik.

"Kerana pada Tun (Dr Mahathir), video itu bukan masalah moral. Ia masalah politik. Apakah rakan-rakan dalam PKR dan PAN (Amanah) setuju?

"Sepatutnya keutamaan beliau adalah kebenaran dan moral. Kalau kepentingan politik keutamaan beliau, tidakkah Dr Mahathir membiarkan negara ini dipimpin oleh orang yang tidak bermoral?" katanya dalam satu kenyataan.

Jun lalu, negara dikejutkan dengan penyebaran video intim membabitkan bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz yang mendakwa melakukan seks songsang degan Azmin.

Bagaimanapun timbalan presiden PKR itu tampil menafikan tuduhan berkenaan dan mendakwa ia satu fitnah yang cuba menjatuhkannya.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador baru-baru ini mengesahkan ketulenan video berkenaan, namun pelaku dalam video berkenaan tidak dapat dikaitkan dengan individu yang dituduh.

Mengulas lanjut Mahathir berkata, dalam kes video intim itu jelas adalah permainan politik kotor yang mahukan beliau bertindak kepada individu yang dituduh.

Bagaimanapun kata pengerusi Bersatu itu, beliau tidak akan sesekali menjadi alat kepada politik kotor berkenaan.

"Sekiranya saya mengambil tindakan yang seperti yang diharapkan mereka, saya akan menjadi alat kepada perancangan itu.

"Saya tidak mempunyai niat untuk menjadi alat kepada mereka dan saya tidak akan menjadi sebahagian daripada politik kotor itu," tegasnya.

Lihat Komen
ADS