Polis Johor rampas dadah RM1.75j
Polis Johor menahan sembilan lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah seberat 3.02kg - dianggarkan bernilai RM1.75 juta - menerusi empat serbuan berasingan di Muar dan Johor Bahru pada 23 dan 26 Julai lalu.
Ketua Polis Johor Mohd Kamaruddin Md Din berkata kesemua mereka - termasuk seorang rakyat Indonesia - berumur di antara 20 dan 46 tahun.
Katanya dadah dirampas itu dianggarkan boleh menampung keperluan seramai 72,098 orang penagih.
“Menerusi serbuan pertama antara 11 pagi dan 1.30 tengah hari di Jeti Nelayan Parit Sakai Laut, Muar, Selasa lepas Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Muar berjaya menahan seorang lelaki berumur 37 tahun.
“Hasil siasatan, polis merampas 10,800 biji pil ekstasi, 8,174 gram syabu dan 4,970 biji pil eramin 5 bernilai RM753,250 serta sebuah kereta Perodua Myvi daripadanya,” katanya kepada pemberita di Johor Bahru hari ini.
Kamaruddin berkata menerusi serbuan kedua di kawasan Taman Melati, Muar, pada waktu dan tarikh sama, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Muar dan AADK Muar menahan seorang lelaki tempatan berumur 44 tahun dan seorang lelaki Indonesia berumur 46 tahun yang dipercayai anggota sindiket sama dengan serbuan pertama.
Beliau berkata polis merampas 10,962 biji pil ekstasi dan 11 gram syabu bernilai RM275,150 daripada mereka serta sebuah kereta Proton Iswara.
Katanya, menerusi serbuan ketiga oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di Setia Tropika pada Jumaat pula, polis menahan lima lelaki tempatan berumur antara 20 dan 28 tahun serta merampas 3,098 gram syabu bernilai RM154,900 dan sebuah kereta Volkswagen daripada mereka.
“Serbuan terakhir pula dilakukan di Taman Adda Heights pada hari sama, dan polis menahan seorang lelaki berumur 27 tahun dan merampas 11,400 gram syabu bernilai RM570,000 daripadanya.
"Polis turut merampas sebuah kereta Perodua Myvi dan sebuah motosikal Honda Dash daripada lelaki tersebut,” katanya.
Menurut Kamaruddin, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung bekalan dadah terbabit dan sejauh mana penglibatan kesemua lelaki berkenaan dalam aktiviti pengedaran dadah itu.
Kesemua mereka kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
- Bernama

