Pemimpin PAS dan Umno tidak teragak-agak untuk merapatkan barisan untuk agenda yang lebih besar apabila kedudukan orang Melayu dan Islam tergugat, kata Ketua Umno Bahagian Sembrong Hishammuddin Hussein.

Beliau yang juga anggota parlimen Sembrong berkata hari ini mungkin ada kesedaran bahawa orang Melayu tidak boleh biarkan apa yang berlaku dan usaha mesti diteruskan untuk menyatu-padukan orang Melayu.

"Penyatuan orang Melayu termasuk semua dan saya rasa hubungan PAS dan Umno dijadikan contoh dan landasan untuk agenda yang lebih besar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Jelebu di Dewan Kompleks Umno Jelebu, Simpang Pertang hari ini.

Turut hadir Ketua Umno Bahagian Jelebu yang juga anggota Parlimen Jelebu Jalaluddin Alias.

Oleh itu, katanya usaha untuk memperkukuhkan parti hendaklah diperhebatkan dan dibuat secara konsisten.

Hishammuddin turut mengingatkan semua anggota Umno bahawa kelemahan kerajaan Pakatan Harapan (HP) tidak bermakna Umno itu kuat.

- Bernama