Kerajaan akan lebih berhati-hati terhadap permohonan ekstradisi, termasuklah terhadap pendakwah kontroversi Zakir Naik, maklum Menteri Luar Saifuddin Abdullah.

Ini susulan kritikan kerajaan mengamalkan pilih kasih terhadap Zakir.

The Malaysian Insight (TMI) melaporkan Saifuddin berkata setiap permohonan ekstradisi diteliti mengikut kes-kes khusus berdasarkan piawaian demokrasi, hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang sebagaimana yang didukung Putrajaya.

“Saya fikir kerajaan sekarang sudah membuat satu keputusan untuk lebih berhati-hati menghantar seseorang pulang ke negara asal,” katanya sambil menjelaskan prinsip ini akan digunapakai untuk semua permohonan ekstradisi.

Misalnya terdapat laporan terhadap seseorang daripada negara atau organisasi antarabangsa tertentu, maka kerajaan perlu mengesahkan maklumat berkenaan terlebih dahulu, kata Saifuddin lagi.

Menjelaskan lanjut, Saifuddin mengulang pendirian Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang bertegas Malaysia tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak supaya Zakir dihantar pulang ke India, sekiranya pendakwah itu tidak dijamin mendapat perbicaraan yang adil di sana.

"Pendirian kita tetap sama.

“Jika dia tidak diberi perbicaraan yang adil, untuk apa kita hantar dia balik? Itulah sebabnya,” kata menteri luar lagi.

Kerajaan India pada 19 Januari 2018 mengemukakan permohonan rasmi untuk membawa pulang Zakir Naik.

Zakir sedang berdepan dakwaan pengubahan wang haram bernilai lebih 1.93 bilion rupee (RM115.66 juta) "hasil jenayah di India dan di luar negara".

Zakir sebelum ini pernah berkata bahawa beliau bersedia untuk kembali ke India dengan syarat Mahkamah Agung India dapat memberi jaminan dalam tulisan bahawa dirinya tidak akan ditangkap dan dipenjara sehingga dia dibuktikan bersalah.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin dalam jawapan bertulis parlimen pada 11 Julai lalu memaklumkan Zakir tidak ada dalam senarai merah Interpol, mahupun disebut sebagai entiti pengganas dalam Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

"Kementerian membuat semakan pada senarai red notice Interpol dan mendapati nama Zakir Naik tidak tersenarai sebagai orang yang dikehendaki.

"Semakan pada senarai entiti pengganas dalam senarai Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSCR) juga mendapati nama beliau tidak tersenarai orang yang disyaki," katanya.