Malaysiakini
BERITA

Wan Azizah: Dr M pun beri ruang untuk hal parti

Faisal Asyraf

Diterbitkan
Dikemaskini 30 Jul 2019, 2:38 tengahari

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tetap tidak mengabaikan soal parti walau sibuk dengan tugasan kerajaan, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau yang juga pengerusi Majlis Penasihat PKR itu dipercayai merujuk kepada timbalan presiden parti itu, Mohamed Azmin Ali yang berkata beliau tidak menghadiri mesyuarat parti kerana tugasnya sebagai menteri.

"Ini satu peringatan, sama juga untuk diri saya sendiri - ada hal parti dan ada juga hal rasmi.

"Kalau kita lihat sebagai rujukan dan contoh, perdana menteri sendiri yang berpengalaman 22 tahun sebagai perdana menteri masih memberi ruang untuk hal parti.

"Sebab kita naik pun atas dasar parti. Jadi bagus jika kita kuatkan parti kita sendiri," katanya kepada pemberita di Shah Alam, malam ini.

Wan Azizah turut mengakui PKR berdepan masalah disiplin, tetapi menganggap cabaran itu tidaklah sebesar ketika presiden parti Anwar Ibrahim masih di dalam penjara.

"Kita ada sedikit masalah dengan disiplin, tetapi kita sudah berdepan cabaran sebelum ini terutama ketika presiden dalam penjara.

"Ada ketika tiada siapa yang rasa kita akan berjaya. Kita dikatakan parti nyamuk.

"Jadi (parti) sudah berkembang. Cabaran akan datang dan ia akan membuatkan kita lebih kuat," katanya lagi.

Semalam, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau tidak hadir ke mesyuarat MPP dan mesyuarat Biro Politik sejak pemilihan parti pada November 2018 dan tidak menyatakan sebab atas ketidakhadirannya.

Untuk rekod, Azmin juga tidak hadir ke pemukiman PKR di Port Dickson baru-baru ini, di mana beliau dijadual menyampaikan ucapan.

Sebelum ini, Azmin berkata sudah menjadi lumrah bagi seseorang pemimpin tidak dapat hadir ke mesyuarat parti, apatah lagi jika turut menjadi anggota kerajaan.

“Ada program parti yang saya hadir, kalau tiada tugas kerajaan. Kalau ada (tugas) saya akan maklum. Itu proses normal," katanya yang juga menteri hal ehwal ekonomi.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.