Malaysiakini BERITA

'Pekerja Utusan lambat dapat gaji lagi'

Faisal Asyraf  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Kakitangan syarikat akhbar Utusan Melayu (Malaysia) Bhd terus berdepan kekecewaan apabila pembayaran gaji mereka untuk bulan Jun dan Julai ditangguhkan sekali lagi.

Menurut sumber, pekerja sepatutnya menerima gaji mereka dua kali sebulan, iaitu pada 15 dan 30 hari bulan, tetapi penangguhan itu menjejaskan motivasi mereka untuk datang bekerja seperti biasa dalam keadaan mereka terpaksa bergelut mencari rezeki selain melangsaikan komitmen bulanan mereka.

Oleh itu, menurut sumber Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Cawangan Utusan Melayu, kakitangan bercadang untuk menganjurkan piket jika syarikat sekali lagi gagal melunaskan pembayaran gaji mereka pada bulan depan.

“Julai tahun ini, kali pertama pekerja bukan eksekutif tak menerima satu sen pun daripada gaji mereka,” kata sumber itu.

Difahamkan, gaji untuk pekerja eksekutif pula ditangguhkan sejak Jun.

Mereka hanya dibayar RM2,000 untuk gaji bulan Jun yang dimasukkan awal bulan, dan hanya menerima RM1,000 untuk gaji bulan Julai, kata sumber itu lagi.

Dalam memorandum bertarikh hari ini 31 Julai 2019 yang dilihat Malaysiakini, Pengurus Besar Sumber Manusia Kumpulan Utusan, Mohd Nazlan Osman menjelaskan penangguhan pembayaran gaji itu disebabkan masalah aliran tunai syarikat yang kritikal.

“Syarikat sedang berusaha sedaya upaya untuk melaksanakan bayaran-bayaran ini dengan kadar segera. Sebahagian bayaran ini dijangka dapat dilaksanakan selewat-lewatnya pada 6 Ogos 2019,” katanya seperti dipetik dalam memorandum itu.

Syarikat Utusan Melayu semakin bergelut dengan masalah kewangan ekoran kekalahan Umno dan BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada Mei lalu, yang menyebabkan penangguhan pembayaran gaji kakitangannya beberapa kali.

Antara langkah yang telah diambil syarikat itu ialah menjual hartanahnya, menawarkan skim pemberhentian kerja sukarela (VSS) kepada lebih separuh daripada kakitangannya, menutup biro-biro dan membawa masuk pelabur luar untuk membantu syarikat melangsaikan hutangnya.

Ini selepas syarikat itu diklasifikasikan sebagai syarikat Nota Amalan (PN17) pada Ogos 2018 dan berisiko dinyah senarai daripada Bursa Malaysia disebabkan kekangan kewangan.

Malaysiakini telah menghubungi Pengerusi Utusan, Aziz Sheikh Fadzir dan Mohd Nazlan serta sedang menunggu maklum balas lanjut.

[Baca berita penuh]