MMU letak keutamaan bagi peruntukan aktiviti pelajar
Pihak Universiti Multimedia (MMU) akan meletakkan keutamaan bagi peruntukan untuk penganjuran aktiviti pelajarnya susulan keputusan mengekalkan yuran aktiviti pelajar (SAF).
"Keputusan ini berpandangan universiti dan badan pelajar perlu mengutamakan peruntukan untuk menganjurkan aktiviti bagi memastikan hasil yang hebat dan berkesan," kata Presiden MMU, Ahmad Rafi Mohamed Eshaq dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 23 Julai lalu kira-kira 1,000 pelajar berkumpul di kampus universiti itu di Melaka untuk membantah kenaikan SAF yang disifatkan sebagai tidak adil.
MMU berhasrat menaikkan SAF dari RM110 kepada RM500 setahun.
Perkara itu diumumkan dalam satu memo yang turut menyatakan kenaikan itu bertujuan memudahkan penganjuran aktiviti pelajar dan akan dilaksanakan pada April 2020.
Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Pouria Zibaei mendakwa pengumuman kenaikan yuran itu dibuat tanpa kelulusan majlis universiti berkenaan, kelab dan persatuan.
Berikutan bantahan itu, MMU berunding bersama MPP mengenai yuran berkenaan yang membawa kepada keputusan untuk mengekalkan SAF sebanyak RM110 setahun.
"Di MMU, kami sentiasa menekankan perkembangan pelajar kami. Untuk itu, kami terbuka kepada cadangan dan sentiasa bersikap inklusif dalam membuat keputusan kami.
"Hakikatnya kami memasukkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dalam proses ini dan ia adalah bukti kepada dasar ini," kata Rafi.

