Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Atur pertemuan dengan pembangkang: Tak ada rahsia apa pun - Dr M

Dr Mahathir Mohamad tidak mengulas panjang berkenaan dakwaan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Abang Johari Openg bahawa pertemuan dengan pembangkang di Putrajaya pada 30 Julai lalu atas undangan perdana menteri.

"Saya sudah jumpa dengan dia (Pengerusi GPS Abang Johari Openg)...Tak ada secret apa-apa pun," katanya ringkas.

Terdahulu hari ini, Abang Johari yang juga ketua menteri Sarawak dilaporkan berkata perjumpaan itu dibuat atas jemputan Mahathir.

"Apa yang terjadi adalah, ada jemputan daripada perdana menteri (kepada GPS) dan (kepada) parti lain.

"Mereka cuma mahu berbual, itu saja. Tak lebih daripada itu," katanya kepada Malay Mail.

Bagaimanapun Mahathir pada sidang media pagi tadi memberi gambaran bahawa mereka yang ingin berjumpa dengannya.

"Mereka datang jumpa saya, jadi saya jumpa mereka. Saya dengar apa yang mereka nak kata. Ramai antara mereka menyatakan sokongan kepada saya. Terima kasih banyak," katanya.

Ketika ditanya sama ada Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali turut ada dalam pertemuan itu, beliau hanya berkata secara sarkastik: "Perjumpaan ini rahsia, saya tak boleh beritahu".

Laporan The Star yang memetik sumber sebelum ini menyatakan pembangkang bertemu Mahathir bagi menyatakan sokongan agar beliau menjadi perdana menteri sehingga tamat penggal.

Menurut laporan itu, antara yang hadir ialah bekas Naib Presiden Umno Hishammuddin Hussein, Ketua Whip GPS Fadillah Yusof, manakala PAS pula diwakili Naib Presiden Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan.

Laporan itu juga mendakwa Mahathir meminta seorang menteri kanan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menghadiri mesyuarat itu tetapi tidak mendedahkan identitinya.

Lihat Komen
ADS