Khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini menekankan akan kepentingan memahami institusi diraja.

"Peranan Institusi raja dalam mengemudi Islam untuk terus terpelihara letak duduk dan fungsinya dalam negara ini juga perlu difahami dengan jelas oleh seluruh rakyat,” kata mimbar.

Menurut khutbah, rakyat jelata yakin bahawa Yang di-Pertuan Agong merupakan teladan untuk membawa mesej agama sebagai rahmat kepada sekalian alam.

Jelas khutbah itu lagi, menjadi ketua bagi sebuah negara merupakan suatu tugas yang sangat mencabar dan berat yang telah wujud sejak sekian lama.

Apatah lagi, terdapat segelintir pihak yang sengaja melemparkan persepsi negatif terhadap institusi beraja selain terdapat individu yang semakin berani menghina sultan dan raja di negara ini.

"Ada juga kalangan kumpulan yang sengaja mempertikaikan kuasa-kuasa Yang di-Pertuan Agong seperti mempertikaikan Perkara 153, iaitu tanggungjawab memelihara hak istimewa orang Melayu,” kata khutbah.