Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Desakan Tommy Thomas dilaung dekat masjid di Kg Baru

Kurang 100 orang menyertai perhimpunan digelar Keadilan Untuk Adib di luar Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur selepas solat Jumaat hari ini.

Dianjurkan kumpulan disertai Gagasan Tiga (G3) itu dimulakan kira-kira jam 2.30 petang, iaitu sejurus selepas orang ramai mula keluar dari masjid.

Menggunakan isu keadilan buat anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, yang meninggal dunia selepas cedera dalam keganasan rusuhan di sebuah kuil di Subang Jaya mereka melaungkan slogan "Hidup Islam!" dan "Hidup Melayu!".

Penganjur juga mendesak Peguam Negara, Tommy Thomas, meletakkan jawatan kerana didakwa gagal menjalankan tugasnya.

Pada himpunan itu G3 turut berjanji untuk mengadakan himpunan setiap Jumaat sehingga ke Putrajaya bagi mendesak Thomas meletak jawatan.

Prosiding inkues mencari punca kematian Muhammad Adib ditamatkan selepas tiada lagi saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan baru-baru ini.

Koroner Rofiah Mohamad berkata, mahkamah berpuas hati dengan keterangan saksi sedia ada namun tarikh keputusan inkues masih belum ditetapkan.

Difahamkan, keluarga Muhammad Adib bercadang memasukkan hujahan bertulis selewat-lewatnya pada 21 Ogos ini.

Prosiding inkues punca kematian Muhammad Adib berjalan selama 41 hari bermula 11 Feb lalu.

Sepanjang prosiding, seramai 30 saksi dipanggil serta 137 eksibit dikemukakan.

Kes Muhammad Adib mendapat liputan meluas selepas parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lepas di Institut Jantung Negara.

Lihat Komen
ADS