Kira-kira 1,000 ekor unggas dijangka perlu dimusnahkan di Kampung Permatang Bogak, tempat selesema burung, dikesan serta dua lagi kampung Permatang Sintok dan Permatang Tok Loba yang terletak dalam lingkungan satu kilometer dari situ.

Kes selesema burung dikesan di Permatang Bogak Sabtu lalu apabila seorang penduduk melaporkan enam daripada 20 ekor ayam peliharaannya mati dan ujian makmal mendapati ternakan itu positif dijangkiti virus H5N1.

Sehingga tengah malam tadi, sebanyak 472 ekor ayam, itik dan unggas milik 25 penduduk telah dimusnahkan. Operasi mengesan dan memusnahkan kesemua unggas terbabit dijangka selesai malam ini.

Berikutan itu, kegiatan membawa keluar ternakan ayam dan itik dari kawasan yang disahkan mempunyai kes selesema burung di Seberang Perai Utara, dibekukan serta merta, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Mohd Shariff Omar.

"Mana-mana ayam atau itik yang dibawa masuk ke lingkungan kawasan satu kilometer itu terpaksa dimusnahkan," katanya kepada pemberita di Kepala Batas.

Bernama melaporkan Mohd Shariff berkata, sebuah pusat penyembelihan ayam di Permatang Bogak turut diarah beroperasi dari tempat lain.

Pantau berterusan

Beliau meminta orang ramai supaya tidak cemas dengan penemuan penyakit itu di Pulau Pinang kerana ia merupakan kes terpencil yang hanya melibatkan sebuah kampung dan keadaan terkawal.

"Kita jangka di kawasan itu terdapat kira-kira 1,000 ekor unggas yang perlu dimusnahkan dan kerja itu dijalankan oleh anggota Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan dibantu oleh Rela, Majlis Perbandaran Seberang Perai dan polis," katanya.

Mohd Shariff berkata tindakan pemantauan kawasan yang disahkan mempunyai kes selesema burung di Seberang Perai Utara akan diteruskan sehingga kawasan itu diisytiharkan bebas daripada penyakit itu.

Bagi kawasan lingkungan dua hingga 10 kilometer dari Kampung Permatang Bogak, tindakan pemantauan akan dilaksanakan selama seminggu.

Shariff meminta kerjasama penduduk supaya menyerahkan ternakan mereka kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk dimusnahkan dan kerajaan akan membayar pampasan.

"Pegawai kita yang berada di lapangan akan merekodkan setiap ternakan yang dimusnahkan untuk tujuan pampasan," katanya.

Shariff berkata setakat ini tiada kes jangkitan selesema burung melibatkan manusia dilaporkan di negara ini sejak wabak itu dikesan.