Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin hari ini menyambut baik cadangan membiarkan Dr Mahathir Mohamad meneruskan khidmatnya sebagai perdana menteri sehingga tamat penggal ini.

Mendoakan Mahathir agar "panjang umur" Zuraida berkata tempoh lima tahun diperlukan bagi membolehkan pengerusi PH itu memastikan kestabilan negara sebelum menyerahkan kuasa kepada penggantinya.

"Saya fikir demi negara perlu untuk beliau terus menjadi perdana menteri untuk sepenuh penggal.

"Saya menyambut baik dan berdoa Mahathir dipanjangkan umur," katanya kepada media semasa ditemui di Taman Melawati, Kuala Lumpur hari ini.

Isu peralihan kepemimpinan kerajaan daripada Mahathir kepada perdana menteri kelapan negara menjadi semakin hangat sejak akhir-akhir ini dengan kesannya turut menonjolkan krisis dalaman PKR.

Menjelang PRU ke-14 lalu persefahaman yang dicapai dalam kalangan pemimpin PH ialah, Mahathir menjadi perdana menteri menggantikan Najib Razak untuk seketika dan akan menyerahkannya kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim, apabila tiba masa yang dianggap sesuai.

Dalam PKR sendiri wujud satu kumpulan yang mendesak agar Anwar diberikan tanggungjawab itu sebelum PRU ke-15 - yang mesti diadakan selewat-lewatnya 2023 - manakala satu kumpulan lain mempunyai pandangan berbeza.

Zuraida memang diketahui menyertai kumpulan yang bertentangan dengan Anwar.

Menurut Zuraida isu yang menjadi kebimbangan pihaknya ialah kesinambungan pembangunan yang dirancang Mahathir mungkin terjejas apabila kuasa diserahkan sebelum cukup tempoh lima tahun.

"Ia mengenai kesinambungan, kerana kita bimbang apabila beliau sudah menetapkan landasan - katanya dalam dua tahun pertama - kesinambungan untuk menstabilkan (negara) memerlukan masa lima tahun.

"(Maksudnya) itu ialah tempoh selama satu penggal. Dan apabila berlaku penyerahan kuasa, dari situ ia lebih mudah, rangka kerja sudah ada. (Kita) hanya bergerak dari situ," katanya.

Zuraida merupakan pemimpin kanan PH kedua menyatakan sokongan terhadap idea Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang menyarankan Mahathir dibenarkan terus menjadi perdana menteri sehingga mandat yang diperolehi PH pada PRU ke-14 lalu tamat.

Sebelum ini pemimpin PH yang menyambut cadangan tersebut ialah Timbalan Presiden PKR merangkap Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS