Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saya tak sokong sistem 'cai' - Salahuddin
Diterbitkan:  Aug 4, 2019 4:04 PM
Dikemaskini: 8:27 AM

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub menegaskan bahawa beliau tidak menyokong sistem 'cai' yang diguna pakai pada pemilihan Pemuda Amanah yang sedang berlangsung hari ini.

Beliau berkata, kenyataannya sebelum ini telah disalah erti apabila beberapa laporan media memetik kononnya beliau akan memperkenalkan sistem 'cai' yang lebih demokratik dalam pemilihan sayap parti itu.

Katanya, perkara seumpama itu tidak boleh berlaku sama sekali dan dilarang sebagaimana budaya yang diterapkan oleh parti PAS kerana ia dilihat adalah tidak adil kepada semua ahli.

"Apa yang saya maksudkan ialah Pemuda Amanah hari ini tidak akan guna pakai sistem cai macam diperkenalkan PAS dahulu kerana kita ada visi dan misi, bukan adakan pemilihan secara sembunyi dan memburukkan orang.

"Saya tegaskan bahawa ahli parti layak memilih sesiapa sahaja pemimpin sesuai bukan sebab dihasut atau digalakkan oleh orang lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Keusahawanan Tani di Bakri di sini, hari ini.

Salahuddin berkata penubuhan Amanah telah berusia tiga tahun iaitu semua ahlinya sudah maklum dan cakna untuk memilih pemimpin parti.

"Ucapan saya berkenaan sistem 'cai' yang dipetik dalam pemilihan Pemuda Amanah semalam tidak diletakkan dalam konteks yang betul. Saya menyuarakan bahawa kita (Amanah) tidak sekali-kali bersetuju dengan sistem itu,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS