Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adun PKR: K'jaan patutnya tingkatkan penguasaan bahasa Melayu murid SJKC
Diterbitkan:  Aug 4, 2019 4:56 PM
Dikemaskini: Aug 5, 2019 10:27 AM

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR Goh Choon Aik menyatakan kekecewaan dengan Kementerian Pendidikan yang mahu memperkenalkan enam muka surat mengenai tulisan khat dan Jawi dalam sukatan pelajaran Darjah 4 Bahasa Melayu bermula tahun depan.

Goh yang merupakan Adun Bukit Tambun berkata, kerajaan sewajarnya menumpukan usaha dalam meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid-murid sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC).

"Sebagai pengerusi PIBG SJKC selama enam tahun, saya amat memahami kelemahan murid-murid Cina dalam bahasa Malaysia dan sering mencari jalan untuk memperkasakan penguasaan bahasa Malaysia di SJKC.

"Namun demikian, saya berasa amat sedih kerana Kementerian Pendidikan bukan sahaja tidak mengambil langkah sewajarnya untuk meningkatkan penggunaan bahasa Malaysia dan penguasaan bahasa Malaysia dalam kalangan murid-murid SJKC, tetapi memperkenalkan seni khat kepada budak-budak yang janggal terhadapnya," katanya dalam kenyataan di Facebook.

Mengulas lanjut, Goh berkongsi latar belakang pendidikannya termasuk mendapat A bagi subjek Bahasa Malaysia dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) serya pernah belajar tulisan Jawi atau seni khat.

Goh juga berkata dia sentiasa bertutur dalam bahasa Melayu dalam sidang dewan undangan negeri, mesyuarat rasmi kerajaan dan perjumpaan melibatkan orang Melayu.

Bagaimanapun, Goh berpandangan bahawa seni khat dan tulisan jawi lebih sesuai diperkenalkan sebagai subjek pilihan di sekolah menengah.

"Seni khat atau tulisan Jawi boleh dijadikan sebagai salah satu subjek pilihan di Sekolah Menengah dan bukannya diserapkan dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia yang berasaskan tulisan Rumi," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS