Terjemahan Sejak 1989 lagi, sebuah pasukan petugas persekutuan telah ditubuhkan untuk membersihkan Sabah daripada masalah pendatang haram. Dan hari ini, keadaannya tidak banyak berubah, malah telah menimbulkan kebimbangan tentang asimilasasi mereka dalam masyarakat tempatan.

Para aktivis tempatan secara terbuka menuduhkan kerajaan mengeluarkan sekurang-kurangnya satu juta kad pengenalan (KP) kepada rakyat asing atas sebab-sebab ekonomi dan politik. Dakwa mereka, dengan memiliki dokumen tersebut, rakyat asing ini turut mendapat hak dan keistimewaan yang dinikmati masyarakat bumiputera.

Seorang peguam yang juga seorang ahli politik Christina Liew berkata, terdapat tiga kategori pendatang haram.

Satu kumpulan terdiri daripada pelarian dari selatan Filipina ketika kemuncak pemberontakan puak pemisah pada 1970-an. Mereka diberi pas IMM13 yang boleh diperbaharui setiap tahun, tetap didakwa tidak berbuat demikian.

Terdapat juga pekerja asing tanpa dokumen yang sah dan kanak-kanak tanpa kerakyatan, yang telah terpisah atau tertinggal apabila ibu bapa mereka dihantar pulang.

"Mangsa sebenarnya adalah kanak-kanak tanpa kerakyatan yang terpaksa menjaga diri sendiri selama bertahun-tahun mereka adalah kanak-kanak terbiar, anak-anak pelarian dan anak pendatang haram," kata seorang aktivis hak asasi manusia yang tidak mahu namanya disebut.

Mereka yang dilahirkan pada 1970-an, mungkin sudah berkahwin dan kini mempunyai anak, dan dengan itu, semakin bertambahlah jumlah mereka yang tidak mempunyai dokumen, yang hidup bebas di Sabah dan turut membawa masuk saudara mara mereka.

Rasa tidak senang

Pemberian status kerakyatan dan KP kepada rakyat asing telah menimbul rasa tidak senang di kalangan penduduk tempatan.

Ini jelas dilihat apabila penduduk Kampung Maang di Penampang, kira-kira 15km dari Kota Kinabalu, membantah rancangan kerajaan negeri untuk memindahkan ke kawasan mereka penduduk setinggan yang terdiri daripada rakyat asing atau bekas pelarian.

Kempen mendapatkan tandatangan sedang dilancarkan di negeri ini atas inisiatif satu kumpulan yang dikenali sebagai 'Forum Rakyat Patriotik mengenai Kad Pengenalan' (Pacific).

Melalui kempen itu, kumpulan berkenaan mahu mendapatkan 200,000 tandatangan untuk mendesak keajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja untuk menyiasat bagaimana begitu ramai rakyat asing mendapat pengiktirafan rasmi sejak tiga dekad yang lalu.

Setiausaha Pacific, Joshua Kong berkata: "Kami merasakan kerajaan patut menyiasat punca sebenarnya dan mengesahkan kehadiran mereka yang dikenali sebagai 'Project ICs' dengan kod P1 dan P1 dengan Jabatan Pendaftaran Negara."

Kumpulan tersebut yang dianggotai beberapa badan bukan kerajaan (NGO) tempatan, rakyat prihatin dan golongan profesional mahu pihak berkuasa menyemak kesahihan semua KP yang dikeluarkan di Sabah serta pemegang KP dari Sabah di negeri-negeri lain.

Ia turut mencadangkan supaya KP yang dikeluarkan kepada rakyat asing di luar Perlembagaan Persekutuan hendaklah dibatalkan manakala pemegang KP yang meragukan pula, tidak dibenarkan memohon status penduduk tetap.

Malah, ada pihak yang mencadangkan supaya kerakyatan yang diberikan kepada kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibu bapa yang diragui statusnya, juga dibatalkan, dan tempoh tertentu diberi untuk memulangkan KP yang meragukan.

Tindakan diperlukan

Dalam satu kertas kerja yang dibentakang di sebuah forum baru-baru ini yang bertajuk "Mengurangkan Keganasan di kalangan Kanak-kanak" anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Liew mengesyorkan lima cara untuk menangani masalah tersebut di Sabah.

Katanya, penyelidikan perlu dilakukan mengenai status pendatang tanpa izin dan kanak-kanak tanpa kerakyatan.

Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelariran (UNHCR) telah menyediakan bantuan kewangan kepada 57,000 pelarian Filipina di Sabah, tetapi ia ditarik balik pada 1987 selepas berakhirnya pemberontakan di selatan Filipina.

"Tidak pernah ada satu penyelesaian terhadap kehadiran pelarian ini di Sabah," kata Liew, yang turut mencadangkan tiga pilihan menghantar mereka pulang, sediakan dokumen yang sempurna, dan catat atau daftar pelarian tersebut.

Liew berkata, pendatang tanpa izin remaja perlu diberi pendidikan asas dan latihan kemahiran di Semenanjung Malaysia kerana ia akan dapat menyekat kedatangan pendatang baru jika mereka tahu yang mereka akan dihantar keluar dari Sabah.

Kerajaan juga patut menghapus atau meminimakan levi ke atas pekerja asing dan jangan lagi menggunakan perkhidmatan orang tengah bagi mendapatkan pekerja asing, terutama dalam industri kelapa sawit.

Menurutnya, Sabah memerlukan pekerja asing tetapi levi yang dikenakan itu, mendorong pekerja dan bakal majikan mereka untuk mencari jalan mengelak membuat bayaran tersebut.

Memandangkan jumlah kanak-kanak tanpa kerakyatan itu, Liew berkata, terdapat keperluan untuk melancarkan gerakan mengesan ibu bapa atau saudara mara mereka di negara asal masing-masing.

"UNHCR dan Unicef (Tabung Kanak-kanak PBB) boleh menyediakan bantuan yang diperlukan," katanya.

Terdapat juga, katanya, rekod baru atau pendaftaran kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibubapa dari kalangan pendatang tanpa izin di Sabah.

Di samping itu, kerajaan persekutuan juga patut menyediakan kewangan yang mencukupi kepada Sabah, sepadan dengan jumlah penduduknya, bagi untuk pendidikan, keselamatan dan penjagaan kesihatan.

Perbezaan pandangan

Pesuruhjaya Suhakam, Prof Dr Hamdan Adnan pula, ketika melancarkan kempen mengutip tandatangan oleh Pacific minggu lalu, menimbulkan kemungkinan berlakunya "pengambilalihan" oleh rakyat asing yang datang ke Sabah secara haram sejak 1960-an.

Bagaimanapun, bukan semua pihak bersetuju dengan pandangan beliau itu. Yayasan Islam Sabah (YIS), yang diketuai oleh bekas Ketua Menteri, Datuk Harris Salleh, menyifatkan kenyataan Hamdan itu sebagai 'tidak munasabah'.

Setiausaha Agung YIS, Yahya Ahmad Shah berkata, Malaysia mempunyai undang-undang yang melindungi kedaulatannya dan oleh itu "tiada sebarang sebab untuk bimbang".

Katanya, setiap pihak perlu membantu usaha kerajaan menyekat kebanjiran rakyat asing ke Sabah, tetapi beliau tidak memberi butiran lanjut selain berkata rakyat asing juga diperlukan dalam pasaran pekerjaan.

Dalam operasi polis yang dilancarkan di sekitar Kota Kinabalu, kira-kira 800 orang yang tidak mempunyai dokumen yang sah kebanyakannya kanak-kanak ditahan dan dihantar ke pusat-pusat tahanan yang telahpun sesak.

"Apa yang perlu kita lakukan? Hantar mereka pulang?" tanya seorang pegawai tinggi polis, yang berkata ibu bapa kebiasaannya dinasihatkan supaya memohon mendapatkan dokumen rasmi supaya mereka dibenarkan tinggal.

Ramai juga yang berpendapat, masalah pendatang haram tidak selesai selagi kerajaan Malaysia, Indonesia dan Filipina tidak duduk semeja untuk membincangkan secara serius bagi mencari jalan penyelesaiannya. Tanpa keazaman politik seumpama itu, keadaannya akan bertambah buruk.


TONY THIEN adalah wartawan sambilan malaysiakini di Sarawak.