Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keputusan permohonan Najib batal saman Deepak 23 Oktober

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 23 Oktober ini bagi membuat keputusan terhadap permohonan Najib Razak dan empat pihak lagi untuk membatalkan saman sivil berjumlah RM52.6 juta oleh ahli perniagaan Deepak Jaikishan.

Menurut peguam David Matthews, yang mewakili bekas perdana menteri dan isterinya Rosmah Mansor, tarikh itu ditetapkan hakim Azimah Omar selepas mendengar penghujahan lisan hari ini.

Plaintif dalam saman itu ialah Deepak, adiknya Rajesh, dan syarikat mereka Radiant Splendour Sdn Bhd.

Selain Najib dan Rosmah, tiga lagi defendan ialah adiknya Ahmad Johari Razak, bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim dan pengerusi Bank Rakyat Shukry Mohd Salleh.

Menurut peguam Deepak, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, defendan memberikan beberapa sebab mengapa saman itu perlu dibatalkan.

Antaranya mereka berkata tuntutan Deepak tidak lengkap dan tidak mempunyai sebab kuat (unjustified), serta klausa yang tidak khusus (unspecified).

"Bagaimanapun kita meminta mahkamah untuk melihat saman itu secara keseluruhan, kerana kes seperti tidak boleh dilihat melalui satu atau dua klausa secara berasingan.

"Mahkamah akan memberikan keputusannya pada 23 Oktober ini, jadi kita tunggu keputusannya," katanya.

Deepak menuntut ganti rugi yang menurutnya berpunca daripada konspirasi, penipuan, malfeasance dan penyalahgunaan proses oleh Najib dan Rosmah.

Deepak, Rajesh dan Radiant Splendour didakwa terpaksa mengambil pinjaman RM198 juta daripada Bank Rakyat bagi pihak pasangan itu.

Pemilikan plaintif terhadap 80 unit kondominium di atas sebidang tanah di Kuala Lumpur digunakan sebagai surat ikatan tugasan untuk perjanjian pinjaman itu yang dibuat pada 2008.

Sebagai pertukaran, mereka dilantik sebagai proksi Najib dan Rosmah untuk pemilikan Menara Angkasaraya dan tanah Bukit Raja bernilai RM2 bilion.

Bagaimanapun, pada 19 April 2013, plaintif memetari perjanjian penyelesaian dengan Bank Rakyat selepas gagal membuat pembayaran pinjaman.

Susulan kegagalan itu, dakwa plaintif, syarikatnya dan Johari perlu menjual unit kondominium di bawah harga sepatutnya pada 2014.

Plaintif juga didakwa menerima tekanan daripada Najib dan Rosmah berkenaan saman yang difail terhadap mereka oleh A Santamil Selvi, balu kepada penyiasat persendirian mendiang P Balasubramaniam.

Lihat Komen
ADS