Terjemahan Mahkamah Tinggi Syariah akan memutuskan pada 26 April ini permohonan bekas isteri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Effendi Norwawi untuk mendapatkan kebenaran menfailkan permohonan menghina mahkamah terhadapnya kerana didakwa gagal mematuhi perjanjian penyelesaian perceraian mereka.

Hakim Mohamad Shakir Abdul Hamid menetapkan tarikh tersebut selepas menasihatkan peguam syarie Mohd Rafie Mohd Shafie yang bekas isteri Effendi Farida Effendi supaya menfailkan dokumen tambahan berkaitan permohonannya tersebut.

Katanya, pihak mahkamah akan meneliti permohonan dan jika berpuashati, akan mengeluarkan notis mengarahkan Effendi supaya hadir di mahkamah.

Mahkamah juga dimaklumkan bahawa Effendi telah mendapatkan perkhidmatan peguam syarie Mohamad Burok untuk mewakilinya dalam kes tersebut.

Jika mahkamah mendapatinya bersalah, Effendi boleh dikenakan hukuman penjara kerana menghina mahkamah.

Farida, 55, yang nama sebenarnya Zariah Hashim, kelihatan tenang ketika duduk di sebelah peguamnya sepanjang prosiding tersebut.

Penyelesaian perceraian

Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, Mohd Rafie berkata pelanggannya terpaksa mengambil tindakan tersebut kerana Effendi gagal mematuhi perjanjian penyelesaian perceraian mereka yang bertarikh 28 Januari 2005.

Katanya, Effendi gagal mematuhi sebahagian besar syarat perjanjian penyelesaian tersebut.

"Kami mahu beliau memberi penjelasan mengapa beliau tidak mematuhinya dan jika penjelasannya itu tidak memuaskan, kami mahu beliau dipenjara," katanya.

Menurutnya, perjanjian tersebut merupakan sebahagian daripada perintah mahkamah bertarikh 21 Jun 2005 yang bukan sahaja membenarkan Effendi melafazkan talak atas persetujuan bersama, tetapi juga terikat dengan perjanjian penyelesaian perceraian tersebut.

Ditanya mengenai jumlah nilai harta yang terbabit dalam perjanjian tersebut, Mohd Rafie enggan mendedahkan tetapi membayangkan ianya membabitkan berjuta-juta ringgit.

Dalam permohonan itu malaysiakini memperolehi salinannya Effendi didakwa dengan sengaja tidak mematuhi syarat-syarat dalam perintah mahkamah itu.

Permohonan tersebut menyenaraikan 20 harta termasuk rumah mereka di Kuching, Sarawak, rumah di London dan 100 peratus saham Encorp Utility di mana Effendi didakwa gagal memindahkannya kepada nama Faridah.

RM200,000 sebulan

Farida memohon gantirugi RM200,000 sebulan mulai November lalu sehingga saham Encorp Utility dipindahkan sepenuhnya kepada beliau.

Dalam afidavitnya, Farida berkata, kegagalan Effendi memindahkan saham tersebut kepada namanya, telah mengakibatkan beliau kerugian RM200,000 sebulan.

Faridah mendakwa, beliau tidak mempunyai pilihan kecuali mengambil tindakan tersebut kerana beliau telah dimaklumkan mengenai dakwaan adanya usaha pihak-pihak tertentu supaya saham tersebut tidak dipindah kepada namanya.

"Sudah 14 bulan sejak perjanjian penyelesaian perceraian itu ditandatangani dan lapan bulan sejak mahkamah membenarkan perceraian tersebut," katanya.

Beliau mendakwa Effendi tidak mengambil usaha bersungguh-sungguh untuk mematuhi syarat-syarat yang terkandung dalam perjanjian tersebut.

Pasangan tersebut berumahtangga selama 33 tahun dan mempunyai anak orang anak Elfida, Elyna dan Ezra.

Effendi, yang dilantik semula menganggotai kabinet dalam rombakan baru-baru ini, kini mendirikan rumahtangga dengan pelakon popular Tiara Jacqueline. Berita asal