Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
3 ekor lembu korban, jual 2 ekor, beli komputer

SPRM digesa menyiasat tindakan tiga pemimpin Bersatu bahagian Bagan Datuk kerana didakwa menjual lembu korban yang sepatutnya diagihkan kepada penduduk setempat sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun lalu.

Anggota jawatankuasa (AJK) Bersatu Bagan Bahaman Tokiran mendakwa ketiga-tiga pemimpin itu menjual dua daripada tiga ekor lembu sumbangan Menteri Besar Perak Faizal Azumu bagi membeli komputer riba dan mesin pencetak.

Hanya seekor sahaja diagihkan kepada masyarakat setempat, dakwanya.

Bahaman menamakan ketua bahagiannya Abdul Malik Karim, timbalannya Mohd Robion Bandi @ Ali Bandi dan naib ketua Zul Azni Kamirin dalam laporan itu.

“Kami mendapat maklumat sepatutnya tiga ekor lembu yang diberikan menteri besar Perak, Ahmad Faizal Azumu kepada Abdul Malik telah diseleweng.

“Dua ekor lembu itu dijual oleh timbalan dan naib ketua bahagian Bersatu Bagan Datuk dan mereka mengambil duit itu.

“Jumlah dua ekor itu dianggarkan dijual RM5,000 seekor. Hanya 1 ekor lembu saja diagihkan ketua Bersatu bahagian Bagan Datuk.

“Saya juga salah seorang penduduk di Bagan Datuk terkilan dengan tindakan tiga pemimpin itu yang melanggar hukum syariah Islam,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Lembu-lembu itu dikatakan pemberian menteri besar Perak

Dalam laporan SPRM hari ini, Bahaman turut menyerahkan audio perbualan telefon dan mesej WhatsApp didakwa antara timbalan serta naib ketua bahagian itu.

Ditanya mengapa baru membuat laporan itu meskipun perkara itu sudah berlaku setahun yang lalu, Bahaman berkata perkara itu diambil memandangkan bantuan sama diberikan lagi tahun ini.

“Baru-baru ini saya dapat maklumat yang menteri besar Perak ada memberi peruntukan lima ekor lembu pada ketua bahagian yang sama.

“Jadi, dari itu saya mengambil keputusan untuk membuat laporan agar tidak akan berulang dan mereka-mereka yang terlibat menerima hukuman atas salah laku mereka,” katanya.

Mengaku jual lembu

Sementara itu, Abdul Malik ketika dihubungi Malaysiakini mengaku menjual dua ekor lembu tersebut.

Bagaimanapun, katanya, tindakan itu dibuat kerana Bersatu kawasan itu tidak mempunyai dana bagi membeli komputer dan membayar bil di premis mereka.

“Sewaktu kami mula-mula buka pejabat dulu, komputer tak ada, yang ada cuma kerusi dan meja. Jadi bila nak buat kerja tu, tak boleh buat kerja jadi bendahari waktu tu tidak mencadangkan tapi dia kata susah bila tidak ada komputer mahu buat kerja.

“Jadi bila jual lembu tu, duit tu diserah kembali kepada bendahari, jadi bendahari yang pergi beli komputer tu dan komputer itu masih ada di pejabat (kami).

“Lembu dijual sekitar RM5,000 seekor, harga komputer RM3,000 lebih dan selebihnya bayar pejabat, bil elektrik, air.

“Kami tidak digunakan duit itu untuk tujuan peribadi,” katanya yang menambah sehingga kini beliau menanggung bil-bil premis itu.

Gambar hiasan

Abdul Malik berkata, pihaknya sudah memaklumkan kepada Bersatu negeri berkaitan tindakan tersebut.

Pihaknya juga bersedia memberi kerjasama kepada SPRM berkaitan laporan berkenaan.

“Tak ada masalah, saya akan bagi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM,” katanya.

Akui tindakan salah

Sementara itu, Mohd Robion pula mengakui tindakan itu salah dari segi undang-undang namun ketika itu Bersatu Bagan Datuk terdesak dari segi kewangan.

“Memang ada jual dua ekor, pejabat Bersatu ketika itu tidak ada komputer, sewa tak berbayar, bil elektrik dan air tertunggak berbulan-bulan jadi sebab itulah.

“Bila SPRM panggil nanti saya akan cakap perkara sama. Saya mengakui benda tu salah dari segi undang-undang tapi bila dah berlaku, nak buat macam mana, terima sahajalah, saya tunggu kalau SPRM panggil saya akan pergi dan bagi penjelasan,” katanya.

Beliau juga sedia menerima sebarang tindakan termasuk dipecat daripada jawatannya sekarang.

“Kalau dipecat saya reda,” katanya.

Difahamkan, bagi sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini, Bersatu kawasan itu menerima lima ekor lembu sumbangan daripada Faizal untuk diagihkan kepada masyarakat setempat.

Malaysiakini difahamkan Bersatu pusat akan memanggil ketiga-tiga pemimpin tersebut bagi mendapatkan penjelasan berkaitan perkara tersebut.

Lihat Komen
ADS