Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafidah: Tak boleh paksa semua belajar tulisan Jawi

Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri Rafidah Aziz tidak setuju dengan kemasukan seni khat tulisan Jawi dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu darjah empat di sekolah rendah, yang dijadual bermula tahun depan.

Berucap di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini, beliau berkata kerajaan tidak boleh memaksa semua murid untuk belajar seni khat tulisan itu.

"(Perkenalkan saja) sebagai subjek elektif. Siapa yang tak mahu ambil, tak apa.

"Apabila anda paksa semua orang untuk buat kaligrafi, saya akan jadi orang pertama yang gagal (kaligrafi). Saya cabar anda, anda akan gagal kaligrafi.

"Seperti hal lain, artistik ialah satu bakat. Kita tak perlu bakat seperti itu dimasukkan sebagai bahagian wajib dalam kurikulum di sekolah," katanya yang juga anggota Majlis Tindakan Ekonomi.

Rafidah berkata beliau telah menghantar pesanan teks kepada Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik bagi menyuarakan bantahannya terhadap perkara itu.

"Saya baru hantar pesanan teks kepada Maszlee dan kata, bukankah lebih baik jika ia tidak dilakukan sebagai satu subjek?" katanya lagi.

Kementerian Pendidikan bagaimanapun beberapa kali memberi jaminan bahawa pengenalan seni khat, di kedua-dua sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan, hanya melibatkan bahagian kecil dalam mata pelajaran BM dan tidak dimasukkan dalam penilaian.


KINIGUIDE: Menjawab persoalan tulisan khat dalam subjek BM darjah 4


Kementerian itu juga berkata langkah itu bukan untuk mempelajari sistem tulisan jawi, sebaliknya untuk memupuk penghargaan kepada seni tulisan itu yang merupakan sistem lama bagi Bahasa Melayu.

Untuk rekod, Jawi termasuk dalam aspek seni bahasa - selain bercerita, deklamasi sajak dan nyanyian lagu - dan hanya termasuk dalam enam daripada 24 bab. Hanya enam daripada 162 muka surat buku teks diperuntukkan untuk perkara itu.

Bagaimanapun langkah itu dibantah sejumlah pemimpin DAP serta aktivis pendidikan Cina dan Tamil, yang mempersoalkan niat kerajaan dalam memperkenalkan tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Kata Rafidah lagi, lebih baik belajar bahasa berbanding kaligrafi.

"Kepandaian (literacy) bukan pada menulis kaligrafi tetapi tentang belajar bahasa di sekolah. Sistem pendidikan terlalu banyak hal yang mengarut.

"Jangan saratkan (sistem pendidikan) dengan subjek yang tak perlu dan remeh," katanya lagi.

Ketika ditemui kemudian, beliau berkata mengalu-alukan cadangan itu jika kerajaan menjadikannya sebagai subjek elektif.

"Khat bukan satu keperluan. Jika ia satu elektif, saya alu-alukannya kerana ia tiada kaitan dengan bahasa," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS