Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya mahu melihat lebih ramai wanita berkelayakan dilantik memegang jawatan dalam suruhanjaya pencegahan rasuah itu untuk menyeimbangkan nisbah jantina.

“Sebagai ketua jabatan saya boleh membuat dasar-dasar dalaman yang menuju ke arah itu (lebih ramai wanita memegang jawatan).

“Saya akui memang terdapat ketidakseimbangan dari segi jantina dan saya percaya ramai wanita sebenarnya ada merit untuk memegang jawatan-jawatan tertentu, saya ingin memberi peluang begitu,” katanya dalam satu temu bual bersama Utusan Malaysia yang diterbitkan hari ini.

Latheefa bagaimanapun menegaskan bahawa lantikan akan tetap dilakukan berdasarkan merit dan bukan berdasarkan jantina semata-mata.

“Dari segi pegawai kanan, ada banyak gred, jadi (jawatan) yang paling atas memang sangat kuranglah (wanita),” katanya lagi.

Lebih hati-hati

Latheefa dalam wawancara sama turut menjelaskan sikap berhati-hati SPRM dalam mendedahkan maklumat sesuatu kes adalah bagi mengelakkan agensi itu daripada dipergunakan oleh mana-mana pihak.

“Kadang-kadang SPRM boleh digunakan untuk memperlihatkan seolah-olah ada fitnah ataupun tohmahan kepada orang-orang tertentu.

“Ia akan boleh disalahgunakan, boleh dieksploitasikan. Sebab itu kami telah mengambil satu pendekatan sekiranya kes-kes yang mana orang itu belum dituduh lagi, kita tidak boleh memainkan isu itu dan soal operasi kita tidak boleh berkongsi (maklumat),” ulasnya lagi.

Latheefa yang baru dilantik pada 1 Jun lalu menjelaskan SPRM hanya akan membuat kenyataan mengenai perkara-perkara berdasarkan fakta sahaja seperti pengesahan tangkapan.

“Kalau ada tohmahan (tuduhan), kami akan hanya maklumkan selepas siasatan dan sedia untuk didakwa,” katanya.

Hal itu jelasnya lagi, adalah bagi mengelakkan kebocoran maklumat disalahgunakan untuk menjadi satu asas fitnah kepada pihak terbabit.