40 ekar dibalak secara haram di Tganu: Adun
Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu hari ini mendedahkan kegiatan pemalsuan lesen menduduki sementara (TOL) di negeri itu digunakan bagi membalak secara haram, termasuk oleh pemimpin tempatan PAS.
"Dipercayai terdapat 40 ekar di kawasan Ajil dan Telemong, masing-masing 20 ekar," kata Adun Barisan Nasional bagi Ajil, Rosol Wahid kepada malaysiakini hari ini.
Beliau mendakwa beberapa individu terbabit dalam kegiatan haram itu dipercayai termasuk pemimpin PAS di kampung-kampung di kawasan tersebut.
"Mereka menggunakan nama orang kampung untuk memohon lesen itu. Kemudian apabila sudah dapat, mereka mengggunakan tanah hutan yang diperolehi itu untuk membalak," katanya.
"Dan tanah-tanah itu semua sudah habis dibalak," tambahnya.
Rosol menambah, perkara itu akan diadukan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan Jawatankuasa Hisbah dan Tugas-tugas Khas, sebuah badan untuk mengawasi penyelewengan kerajaan negeri yang ditubuhkan kerajaan PAS selepas menguasai Terengganu pada 1999.
"Kita mahu tahu sejauh mana peranan Hisbah yang diwujudkan," katanya.
Wakil rakyat Umno itu turut mendakwa "telah banyak berlaku pemusnahan hutan kerana kegiatan pembalakan" sejak negeri itu diperintah oleh PAS.
"Mana ada hutan lagi di Terengganu sekarang ini, semua habis ditebang," katanya.
Awal minggu ini, beliau mendakwa kerajaan PAS "bermotifkan politik" apabila meluluskan kawasan hutan simpan seluas 4,000 hektar (9.9 ekar) untuk projek perladangan kepada sebuah syarikat yang diterajui oleh seorang tokoh PAS.
Tidak bertindak adil
Rosol juga mempertikaikan kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri bahawa syarikat North East Plantation (NEP) mempunyai pengalaman. Beliau mendakwa syarikat itu baru setahun ditubuhkan.
Hutan Simpan Paka Dungun diberikan kepada NEP yang dikuasai oleh pengarah urusan Harakah , Datuk Hishamudin Yahya, lapor akhbar Utusan Malaysia dua hari lalu.
Dalam laporan yang sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum, Perindustrian dan Sumber Manusia, Datuk Mustafa Ali menafikan kelulusan itu berdasarkan kepentingan politik.
Menurut Rosol, semasa sesi Dewan Undangan Negari bulan lepas, beliau bercadang mengemukakan tiga soalan tambahan mengenai perkara tersebut tetapi telah dihalang.
"Saya mahu bertanya mengenai jumlah permohonan untuk menjalankan projek perladangan kawasan hutan simpan dan berapa daripadanya yang telah diluluskan," katanya.
Selain itu, beliau bertanya mengetahui hasil cukai yang diperolehi daripada premium balak di negeri itu dan jumlah harga premium yang dikenakan kepada pemohon.
Dalam laporan akhbar itu, Rosol percaya kerajaan negeri itu tidak bertindak adil dalam memutuskan kelulusan projek perladangan itu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.