Walaupun hanya dengan kelulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau yang setaraf dengannya, anda berpeluang mengikuti program Ijazah Sarjana Muda di Universiti Terbuka Mal aysia (OUM) apabila kemasukan terbuka dilaksanakan di OUM tidak lama lagi.

Program itu yang pertama seumpamanya di negara ini, hanya ditawarkan kepada pemohon yang berumur 21 tahun ke atas dan mempunyai pengalaman bekerja.

Kementerian Pengajian Tinggi pada dasarnya telah bersetuju dengan cadangan kemasukan terbuka bagi program Ijazah Sarjana Muda yang dijangka dapat dilaksanakan Mei ini, kata Pengarah Pusat Pengajian Siswazah OUM, Prof Dr Md Zabid Abdul Rashid kepada Bernama.

Bagaimanapun, katanya, sebarang syarat kemasukan yang ditetapkan tertakluk kepada kelulusan Lembaga Akreditasi Negara (LAN).

"OUM sedang meneliti cara untuk melaksanakan kemasukan pelajar dalam program berkenaan dan ini tertakluk kepada kelulusan LAN," katanya.

Pada masa ini semua institusi pengajian tinggi awam dan swasta menetapkan setiap calon perlu mempunyai kelayakan minimum lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mengikuti sebarang program peringkat diploma atau yang lebih tinggi tarafnya.

Md Zabid berkata OUM sedang mengkaji program yang sesuai untuk ditawarkan ke kemasukan terbuka itu.

Ujian kecekapan

Bagi memastikan proses pengambilan pelajar bersesuaian dengan konteks negara ini, beliau berkata OUM sedang mengkaji bentuk ujian kecekapan dan ujian tahap pengetahuan serta penawaran program persediaan untuk calon sebelum mengikuti program itu.

Beliau berkata jika program itu dapat dilaksanakan seperti yang dirancang, OUM akan menjadi universiti pertama di negara ini yang menawarkan kemasukan terbuka.

Di negara-negara barat, beliau berkata universiti yang menawarkan kemasukan terbuka hanya menetapkan umur tertentu sebagai syarat pengambilan pelajar tanpa menetapkan sebarang kelayakan daripada segi akademik.

"Calon (di barat) dinilai dari segi kematangan melalui ujian penilaian tahap pengetahuan yang perlu diambil oleh setiap pemohon sebelum diterima masuk mengikuti program yang ditawarkan.

"Tapi di negara kita, kita tetapkan syarat umur dan kelayakan minimum supaya pemohon mempunyai tahap pengetahuan asas dalam pelajaran supaya tidak ada masalah kelak," katanya.

Sehingga kini, OUM menawarkan 41 program daripada peringkat Diploma hinggalah ke peringkat Doktor Falsafah dengan jumlah pelajar seramai 38,000 orang.

OUM yang mempunyai visi untuk menjadi peneraju utama pendidikan terbuka dan pendidikan jarak jauh kini mempunyai 37 pusat pembelajaran di seluruh negara.