Kerajaan negeri Johor bersikap terbuka dan mengalu-alukan sekiranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhasrat membuka kertas siasatan berhubung proses kelulusan kilang yang beroperasi di Pasir Gudang.

Menteri Besar Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata pihaknya tidak ada masalah untuk memberi kerjasama kepada SPRM dalam menjalankan siasatan berhubung isu berkenaan.

“Saya bagi pihak kerajaan negeri mengalu-alukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengadakan siasatan. Tidak ada masalah,” katanya kepada media selepas melancarkan Program Food Bank Yayasan Harapan Pontian 2019 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Ali Haji Ahmad di Pontian, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan bekas Menteri Besar Johor Datuk Mohamed Khaled Nordin hari ini yang mencadangkan SPRM atau mana-mana agensi terlibat membuka kertas siasatan berhubung perkara itu selain bersedia untuk disiasat berkaitan isu berkenaan.

Sebelum ini, laman Facebook Kelab Muafakat Johor menuding jari kepada Mohamed Khaled susulan pencemaran yang berlaku di Pasir Gudang.

Sementara itu, ditanya mengenai desakan pihak pembangkang untuk mendedahkan nama-nama kilang yang terlibat dengan pencemaran itu, Sahruddin berkata pihaknya hanya boleh mendedahkannya setelah dapat mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.

- Bernama